SEBELUM ini penulis berkongsi berkaitan Skim LINDUNG 24 Jam atau Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) yang berkuat kuasa 1 Jun lalu.
Pun begitu, timbul kecaman hebat daripada sesetengah pihak sehingga ada yang tidak menghalalkan potongan gaji untuk caruman tersebut.
Kerajaan juga membuat pusingan U apabila memutuskan caruman LINDUNG 24 Jam di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tidak lagi diwajibkan kepada pekerja tempatan, sebaliknya dilaksanakan secara sukarela berkuat kuasa sertamerta.
Caruman tersebut hanya kekal mandatori bagi pekerja asing dan akan terus dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Persoalan kini, adakah potongan caruman tersebut jelas membebankan rakyat atau lebih menguntungkan untuk jangka panjang?
Secara peribadi, Skim LINDUNG 24 Jam sangat baik lebih-lebih lagi kepada individu yang tidak memiliki insurans kesihatan.
Malah, ia jauh lebih murah untuk golongan berusia memiliki skim perlindungan.
Skim ini diwujudkan bagi memberikan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja ke atas sebarang kemalangan yang berlaku ke atas diri mereka.
Pekerja bukan sahaja menerima perlindungan keselamatan sosial akibat kemalangan bencana pekerjaan, tetapi juga kemalangan dalam bentuk atau situasi yang selain daripada pekerjaannya.
Secara rasionalnya, ia adalah untuk meningkatkan keselamatan sosial pekerja dengan memberikan perlindungan 24 jam daripada apa-apa kemalangan sama ada yang bersifat peribadi atau tidak berkaitan dengan pekerjaan.
Menurut perkongsian Perkeso, Skim LINDUNG 24 Jam memastikan keterjaminan perlindungan keselamatan sosial kepada rakyat khususnya golongan pekerja bermajikan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP) 1969 yang berpendapatan rendah atau rata-rata mempunyai kurang keupayaan untuk memiliki insurans persendirian.
Ini kerana kos premium insurans konvensional yang agak tinggi berbanding kadar caruman Skim LINDUNG 24 Jam, dengan faedah tunai jangka pendek, jangka panjang serta faedah bukan tunai untuk kesejahteraan sosial rakyat.
Menerusi perlindungan keselamatan sosial berkonsepkan insurans sosial mencakupi aspek faedah tunai sebagai gantian kehilangan pendapatan dan faedah bukan tunai yang diperlukan demi memastikan perlindungan komprehensif dapat diberikan kepada pekerja.
Henti atau terus?
Katakan anda tidak mempunyai insurans persendirian atas faktor komitmen atau ditolak disebabkan rekod kesihatan.
Pada hari cuti anda pergi bermain bola pikel dan tercedera sehingga perlu dirawat di hospital.
Cuti sakit dibenarkan 14 hari dalam setahun.
Sekiranya anda memerlukan rawatan lebih 14 hari, sesetengah syarikat mungkin mengarahkan pekerja untuk ambil cuti tanpa gaji.
Jadi siapa yang tanggung pengurangan pendapatan, bil rawatan dan sebagainya?
Skim ini merangkumi faedah perubatan yang membolehkan pekerja mendapat rawatan perubatan secara percuma di klinik panel Perkeso atau klinik atau hospital kerajaan sehingga pulih sepenuhnya.
Malah, ia turut merangkumi faedah hilang upaya kekal yang dibayar kepada pencarum sekiranya mengalami hilang upaya berkekalan akibat kecederaan yang dituntut.
Situasi ini sangat menguntungkan kepada individu yang tidak memiliki kad perubatan, atau tidak layak memiliki kad perubatan.
Dalam konteks ini, sekiranya kita memiliki pelbagai penyakit – kencing manis, darah tinggi atau obesiti, ia akan menyukarkan untuk kelulusan mendapatkan kad perubatan.
Persoalan seterusnya, kalau betul-betul bermanfaat, kenapa ramai yang marah sehingga memaksa kerajaan menukar polisi?
Kemungkinan pendedahan daripada pihak kerajaan itu sendiri lemah dalam menyampaikan manfaat skim ini.
Malah, ada yang tidak mengetahui isu tersebut sehinggalah pada hari mendapat gaji. Tiba-tiba gaji dipotong untuk skim tertentu.
Kesedaran masyarakat harus diutamakan untuk lebih terbuka menerima perlindungan 24 jam ini memandangkan malang tidak berbau.
Fikirkan keluarga, anak, isteri dan ibu bapa yang bergantung kepada kita sekiranya berlaku perkara tidak diingini di luar waktu bekerja.
Namun, sekiranya anda memiliki skim perlindungan yang lebih baik daripada yang ditawarkan oleh Perkeso, pilihan tetap di tangan anda.
Mungkin bagi sesetengah pihak tetap berasa ia satu bebanan dengan jumlah gaji sedia ada.
Oleh itu, kerajaan harus memberikan pendedahan lebih lanjut melalui pelbagai saluran.
Pihak Perkeso juga perlu menambah baik proses pengurusan tuntutan serta memperkukuh aspek tadbir urus agar agensi tersebut mendapat kepercayaan masyarakat.



