PADA zaman serba moden sekarang, kebanyakan ibu bapa memilih menghantar anak mereka ke rumah pengasuh untuk dijaga.
Ia disebabkan mereka sibuk dengan tugas seharian mencari rezeki untuk keluarga.
Minggu lepas saya meluangkan masa menikmati makan tengah hari bersama-sama rakan sekolah dan perbualan kami berkisar tentang kesukaran mencari pengasuh untuk menjaga anak.
Menghantar anak ke rumah pengasuh boleh dianggap sebagai langkah terbaik disebabkan tiada pilihan lain namun terdapat banyak risiko yang perlu diberi perhatian.
Di media sosial kita kerap melihat perkongsian mengenai kisah kurang enak melibatkan sikap tidak bertanggungjawab pengasuh.
Memang tidak dinafikan setiap individu dewasa boleh menjaga anak, namun tidak semua orang berkemahiran – ini kerana menjaga anak memerlukan tahap kesabaran yang tinggi.
Kebanyakan pengasuh perlu menjaga anak orang lain bermula dari pagi hingga petang.
Salah satu risiko mungkin berlaku apabila menghantar anak ke rumah pengasuh ialah kemungkinan pengasuh tidak mempunyai latihan dan kelayakan mencukupi untuk menangani masalah serta isu bakal timbul.
Kejadian salah laku atau kecelakaan yang berlaku di rumah pengasuh biasanya terjadi disebabkan kurang pengetahuan menguruskan anak-anak.
Sebelum menghantar anak ke rumah pengasuh, pastikan pengasuh mempunyai latihan pengasuh.
Selain itu terdapat risiko berlakunya masalah emosi dan kesihatan mental kepada anak apabila ditinggalkan di rumah pengasuh.
Kebanyakan anak-anak sebenarnya merasa tidak selesa ditinggalkan ibu bapa dan ini boleh mempengaruhi kesihatan mental mereka.
Ibu bapa juga perlu memberi perhatian terhadap keselamatan fizikal yang dianggap sebagai risiko paling kita bimbangi ketika meninggalkan anak di rumah pengasuh.
Kejadian kemalangan domestik sama ada disebabkan jatuh, bergaduh dan sebagainya boleh berlaku tanpa diduga.
Yang paling ditakuti jika pengasuh atau penjaga merupakan kaki dera.
Kita semua sedar apa risiko yang boleh berlaku sekiranya kanak-kanak ditempatkan di satu tempat dalam tempoh lama.
Anak kena gigit atau kena pukul dengan kawan, itu semua ada masanya boleh dianggap sebagai perkara biasa sekiranya kita menghantar anak di rumah pengasuh.
Terdapat juga risiko pengasuh tidak dapat memenuhi keperluan khas disebabkan ramai kanakkanak yang perlu dijaga.
Anak anda mungkin ada keperluan khas seperti diet tertentu atau keperluan perubatan – pengasuh pula ada kemungkinan tidak sempat untuk memenuhi keperluan. Bagaimanapun tidak semua pengasuh jahat atau tidak bertanggungjawab.
Sebenarnya terdapat ibu bapa sendiri yang menyebabkan masalah timbul di rumah pengasuh.
Ada dalam kalangan ibu bapa yang mahukan pengasuh memberi tumpuan lebih kepada anak mereka sehingga menyebabkan pengasuh sukar untuk menjalankan amanah dengan baik.
Terdapat pengasuh yang terpaksa menjaga sehingga 10 kanak-kanak dalam satu masa. Pengasuh perlu bersikap adil kepada semua bagi memastikan setiap kanak-kanak dijaga dengan rapi.
Sekiranya ibu bapa raguragu menghantar anak-anak di rumah pengasuh, mereka mungkin boleh mengaji keluarga terdekat.
Ini kerana disebabkan hubungan kekeluargaan, peratusan berlaku masalah terutama dera berkurangan.
Jika pengasuh dalam kalangan keluarga terdekat, mereka mungkin akan memikirkan mengenai pertalian darah sebelum melakukan tindakan kejam atau tidak bertanggungjawab.
Sekiranya ibu bapa tidak mempunyai pilihan menjaga anakanak mereka, terdapat beberapa panduan yang perlu diambil kira, termasuk menyelidik dan meninjau pengasuh.
Kalau boleh senaraikan seberapa banyak pengasuh dan dapatkan maklumat ringkas mengenai pengasuh.
Ibu bapa juga perlu membuat penilaian daripada senarai pengasuh terutama melibatkan kawasan asuhan, jumlah isi rumah, komitmen dan tanggungjawab pengasuh dan pendekatan yang digunakan pengasuh.
Selepas memilih pengasuh, ibu bapa hendaklah membina hubungan baik dengan pengasuh. Hal ini penting supaya ibu bapa mengetahui lebih dekat mengenai personaliti pengasuh.
Kalau boleh lakukan pemeriksaan berkala atau mengejut bagi mengelak berlakunya penderaan. Selepas tamat asuhan, ibu bapa perlu melakukan pemeriksaan setiap kali mengambil anak-anak dari rumah pengasuh.
Secara kesimpulannya, ibu bapa harus prihatin dan bijak memilih pengasuh.
Elakkan memberi sebarang bentuk tekanan kepada pengasuh seperti memaksa mereka menjaga anak pada hari cuti.
Ibu bapa perlu mengelak sikap berkira dengan pengasuh selain sentiasa berlapang dada dan selalu mengamalkan konsep memberi serta bersedekah.
Hal ini kerana pengasuh mengambil tugas menjaga zuriat kesayangan kita.
Wajarlah mereka disayangi dan dihormati atas tugas yang dilaksanakan. Pengasuh juga merupakan insan biasa yang mempunyai hati dan perasaan.
Sekiranya kita memberi bunga kepada mereka sudah pasti mereka akan membalas bunga kepada kita.
Begitulah juga terhadap penjagaan kanak-kanak.
Kalau kita bertimbang rasa terhadap mereka, mereka akan menjaga anak-anak kita dengan baik.
Mungkin terdapat segelintir kes penderaan pengasuh disebabkan tekanan daripada ibu bapa.
Tugas pengasuh mungkin hanya menjaga anak-anak dengan baik.
Tidak mustahil ada dalam kalangan ibu bapa mahu pengasuh mendidik anak mereka atau membantu dalam pelajaran. Harus diingat taraf pendidikan setiap pengasuh berbeza.
Ada pengasuh mampu menjaga dan mendidik kanak-kanak dalam satusatu masa, manakala ada kalangan pengasuh yang hanya mampu menjaga.