KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan menganjurkan Perlumbaan Basikal DBKU Road Race 1.0 pada 10 Disember, Ahad ini.
Menurut Datuk Bandarnya, perlumbaan tersebut
bermula dari Dewan Suarah dan akan melalui jalan sekitar pusat bandar Kuching, Petra Jaya, Jalan Sultan Tengah, Jalan Lingkaran Samariang, Lebuhraya Pehin Sri Haji Adenan Haji Satem, Jalan Diplomatik, Jalan Bako dan tamat di hadapan Bangunan DBKU, Bukit Siol, Petra Jaya.
“Acara sukan riadah anjuran DBKU dengan kerjasama Persatuan Berbasikal Negeri Sarawak (SCA) ini bertujuan mempromosikan bandar raya Kuching sebagai lokasi sesuai untuk penganjuran kejohanan berbasikal di peringkat Malaysia serta luar negara,” katanya pada sidang media, hari ini.
Tambahnya, beberapa kategori dipertandingkan antaranya terbuka lelaki (120 km), lelaki master ‘A’ (120 km), lelaki master ‘B’ (120 km), terbuka wanita (60 km) dan belia (60 km).
“Penyertaan adalah terbuka kepada semua pasukan atau individu dan pendaftaran boleh dibuat di laman web www.dbku.events dengan yuran penyertaan berharga RM80.
“Peserta akan menerima medal dan baju kemeja. Manakala pengambilan pek perlumbaan akan diadakan pada hari Sabtu di pusat beli-belah Majma bermula pukul 9 pagi,” jelasnya.



