ARTIKEL

Dr Jeniri bersama mediang ibunya.

Permata yang hilang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Pada 15 Januari lalu saya kembali ke kampung untuk hadir menyampaikan hadiah di majlis penyampaian anugerah Sekolah Kebangsaan Kampung Tellian, alma mater tempat saya belajar dari darjah satu hingga lima lebih 50 tahun lalu.

Kampung dan sekolah berkenaan sentiasa dekat dan bertapak di hati saya meskipun saya telah jauh merantau di negeri dan negara orang.

Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat kita dilahirkan, bersekolah dan membesar.

Saya telah tidak lagi tinggal di kampung sesudah lulus Senior Cambridge untuk melanjutkan pelajaran di Kolej Tun Datuk Tuanku Haji Bujang, Miri.

Meskipun tidak lagi menetap di kampung setelah bermastautin di Kuching disebabkan tugas rasmi, saya tetap kembali ke kampung, hampir tanpa gagal.

Tujuannya, untuk berjumpa dengan ayah dan ermak saya, saudara-mara dan rakan-rakan di kampung.

Ayah saya meninggal di Kuching dan dibawa ke kampung halaman pada 2010.

Pada tahun ini di sebalik kesibukan tugas dan tanggungjawab yang saya pikul, saya memang berhasrat untuk kembali ke kampung sekurang-kurangnya empat kali setelah menyedari bahawa ibu saya semakin tua.

Pada usia 85 tahun, beliau antara orang paling tua di kampung.

Jadi, ketika saya kembali ke kampung pada 15 Januari, saya sempat bersua dengan ibu saya, Pauline Buyah Padih.

Pada pengamatan saya pada 16 Januari 2025, keadaan kesihatan bonda kesayangan saya telah merosot.

Maka, saya telah mengambil kesempatan untuk berbual-bual sebagai hadiah terbaik daripada Tuhan untuk diri kami adik-beradik.

Saya mengambil kesempatan untuk mencium dahi dan pipi beliau, kerana ada semacam satu perasaan yang berbeza daripada ketika saya mengunjung beliau sebelum itu.

Saya berdoa agar beliau dipanjangkan usia.

Saya juga meminta jurugambar Ghazali Bujang untuk merakamkan gambar saya bersama-sama ibunda saya di dalam kamarnya.

Rupa-rupanya itulah gambar terakhir dan detik terakhir saya bersama-sama beliau kerana ibunda saya telah meninggal dunia pada jam 3.05 pagi Khamis, seminggu selepas saya sempat mencium dan memeluk beliau.

Berita pemergian beliau memang satu pukulan hebat kepada saya dan seluruh keluarga, terutama adinda saya, Rasidah yang sentiasa menjaga beliau di kampung.

Kehilangan ibu ialah kehilangan yang tiada gantinya.

Ia seperti kehilangan cahaya yang selama ini menerangi kehidupan.

Rasa sunyi yang sukar dilukiskan menyelubungi hati, seolah-olah dunia menjadi sepi walaupun ramai orang di sekeliling.

Kenangan bersama-sama ibu datang silih berganti—senyumannya, suaranya, nasihatnya—semuanya terasa dekat tetapi tidak lagi dapat diraih.

Ibu seorang yang tidak banyak bercakap; lebih banyak diam daripada berkata-kata.

Jika bercakap sering menzahirkan kata-kata dengan lirikan senyuman.

Beliau tidak pernah berkasar dengan kami.

Seperti ibu lain di kampung kami, beliau tidak menzahirkan kasih sayangnya dengan kata-kata; sebaliknya dengan tindak-tanduk atau perbuatannya.

Banyak jasa dan pengorbanannya yang sukar dibalas.

Meskipun buta huruf, mendiang begitu mengambil berat soal pendidikan, beliau mahu kami berjaya dalam kehidupan.

Saya masih ingat zaman kanak-kanak, beliau sering memberitahu supaya kami tidak ponteng sekolah.

Yang saya ingat dengan betul, ketika ibu tinggal bersama bapa tiri kami di Kampung Sesok, saya sering mengunjungi beliau waktu cuti sekolah.

Ketika di kampung itulah saya kerap berkunjung ke rumah saudara-mara bapa tiri saya – dan hubungan kami kekal hingga kini.

Saya sering dibawanya masuk ke dalam hutan, menyusuri sungai.

Saat yang paling indah bagi saya ketika di dalam hutan ialah ketika menunggu buah durian jatuh dan memetik buah rambutan.

Kadangkala, rasa sesal muncul; mengenang waktu yang telah berlalu, perkara yang ingin dikatakan tetapi tidak sempat diungkapkan.

Ada perkara yang sepatutnya kita lakukan, tetapi kita tidak lakukan.

Ada rindu yang tidak terungkap, menyesakkan dada setiap kali melihat sesuatu yang mengingatkan kepadanya.

Namun, di sebalik kesedihan, ada keinsafan—bahawa kasih ibu tetap hidup dalam jiwa.

Doa menjadi penghubung, kenangan menjadi penguat semangat.

Kehilangan ini mengajar erti syukur atas kasih sayang, jasa dan pengorbanan yang pernah diberikan, dan kekuatan untuk meneruskan hidup dengan nilai-nilai yang diajarkan.

Ibu ialah teman pertama, teman terbaik, dan teman selama-lamanya meskipun beliau sudah tiada. Memori indah bersama-samanya akan tetap terpahat di kalbu.

Dakapan, kasih sayang dan senyumannya begitu mendamaikan dan menenangkan.

Saya pasti akan tercari-cari beliau ketika kembali ke rumah kami di kampung, tempat beliau duduk menunggu kedatangan kami apabila mengetahui bahawa kami akan balik ke kampung.

Ketika kami berduka, satu perkara yang amat menyentuh hati kami ialah sokongan moral, material dan sifat ikhlas dan semangat bergotong-royong penduduk kampung membantu sehingga mendiang selamat dikebumikan.

Saya masih ingat ketika datuk dan nenek saya meninggal dunia pada tahun 1960-an dan 1974, penduduk menghulurkan derma RM1 atau RM2, dan bagi yang tiada wang, ada yang memberi ayam, bawang dan beras.

Kini, jumlah yang disedekahkan, jauh lebih tinggi, sekali gus menandakan perubahan taraf ekonomi dan taraf hidup masyarakat di kampung saya.

Hakikatnya, bagi keluarga terbabit, bukan jumlah atau derma yang menjadi perkiraan.

Bagi saya, yang jauh lebih penting ialah keikhlasan, kasih sayang, sokongan, kerjasama, dan nilai-nilai positif yang masih kental diamalkan dengan begitu baik oleh penduduk kampung.

Kehadiran rakan-rakan, saudara-mara dan penduduk kampung sedikit sebanyak mengubati kesedihan dan meringankan bebanan seketika.

Saya amat terharu dan terkesan oleh kehadiran, keikhlasan dan kesungguhan jiran tetangga, saudara-mara, dari jauh dan dekat, dan para penduduk kampung, termasuk dari kampung berdekatan yang membantu dalam pelbagai perkara.

Semangat gotong-royong sukar ditandingi.

Beban yang ditanggung terasa ringan dengan kehadiran anak muda dan penduduk kampung yang sedia membantu.

Adat dan upacara berkaitan kematian diikuti ketat mengikut pangkat atau kelas dalam masyarakat lebih 50 tahun lalu.

Saya dapati, kini sebahagian besar daripada adat kematian telah tidak diamalkan, sesuai dengan semakin kuatnya ajaran agama Kristian dalam kalangan masyarakat kampung saya.

Ibu, kami yang ditinggalkan terus berduka, dan terasa kosong.

Sesungguhnya, syurga terletak di kaki ibu.

Ibu, tiada galang gantinya.

Kini hanya gambar dan video yang mengubati rindu dan menyegarkan kenangan manis bersamamu.

BERITA LAIN

SEMAKIN DIGITAL, semakin selamatkah kita?

TEKNOLOGI digital dan kecerdasan buatan (AI) kini berkembang dengan begitu pesat dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Namun, di sebalik kemudahan yang dinikmati untuk bekerja, belajar

Wanita maut dalam kemalangan di Batu Niah

MIRI: Seorang wanita berusia 24 tahun maut selepas kereta dipandunya dipercayai merempuh belakang sebuah lori di Jalan Pan Borneo, berhampiran Simpang WTK, Batu Niah, pagi

BERITA TERBARU

Pilih makanan halal, berkhasiat

SOALAN: Adakah Islam mengajar umatnya supaya sentiasa memilih makanan berkhasiat? JAWAPAN: Ya, Islam mengajar umatnya supaya memilih makanan yang halal, baik dan berkhasiat demi menjaga

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan