KUCHING: Kuasa kelulusan permohonan pembaharuan lesen senjata api dan permit pembelian peluru dicadangkan diserahkan kepada Pegawai Tadbir Sarawak (SAO), khususnya bagi kawasan pedalaman bagi mengurangkan beban penduduk.
ADUN Ba’Kelalan Baru Bian berkata, ia untuk mempercepatkan proses dan mengurangkan beban kewangan serta logistik yang ditanggung oleh penduduk luar bandar.
“Kawasan pedalaman seperti Ba’ Kelalan, yang bergantung kepada aktiviti pemburuan sebagai sumber pendapatan utama, menghadapi cabaran besar dalam proses pembaharuan lesen senjata api dan permohonan permit pembelian peluru.
“Salah satu isu utama yang dibangkitkan oleh penduduk adalah kelambatan dalam proses kelulusan yang dikendalikan oleh tiga orang SOA di Lawas, yang kerap kali tidak dapat ditemui disebabkan oleh urusan rasmi tidak menentu.
“Hal ini menyebabkan kelewatan berpanjangan dan membebankan penduduk dengan kos tinggi, terutama bagi yang terpaksa berulang-alik ke Lawas,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Perbahasan Usul Penghargaan atas Ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, di sini, hari ini.
“Sebagai contoh, penduduk dari Ba’ Kelalan, Long Semadoh dan Long Sukang terpaksa menanggung kos perjalanan antara RM40 hingga RM160 untuk pergi dan kembali dari Lawas, dengan ada antara mereka terpaksa berulang kali.
“Kelewatan yang dialami boleh memakan masa sehingga sebulan akibat memerlukan tandatangan SOA yang sering kali sukar ditemui.
“Justeru, cadangan ini diharap dapat meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kesulitan yang ditanggung oleh masyarakat pedalaman” katanya.
Sementara itu, beliau menggesa pihak berkaitan untuk memastikan bahawa kualiti pembinaan dan piawaian keselamatan Projek Jalan Raya Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) tidak dikompromikan.
“Walaupun dijangka siap pada November 2026, perkembangan terkini menunjukkan bahawa fasa pertama hanya mencatatkan kemajuan 45 peratus pada Mac 2025.
“Diharap ia dapat dipercepatkan bagi memudahkan perdagangan pertanian dan akses pasaran terutamanya di kawasan Ba’ Kelalan, Ulu Limbang, dan Baram,” ujarnya sambil menyeru agar kontraktor berkaitan menyelesaikan segera isu pampasan harta dan rumah yang terjejas oleh pembinaan SSLR.
Beliau juga menggesa kerajaan untuk memberikan perhatian serius dan segera dalam pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin Dan Keselamatan (CIQS) Tebedu bagi memastikan Sarawak dapat mengekalkan kemudahan rentas sempadan.
“Selain itu, dalam lawatan baru-baru ini ke Long Bawan, Indonesia, sebuah pos gabungan keselamatan Malaysia-Indonesia, yang dikenali sebagai Pos Gabungan Malaysia-Indonesia (GABMA), telah ditemui di sebelah Malaysia sebelum CIQS.
“Pos ini dikawal oleh anggota tentera dari kedua-dua negara. Walaupun niat operasi bersama ini adalah untuk meningkatkan keselamatan sempadan, kewujudan anggota tentera Indonesia di tanah Malaysia menimbulkan kebimbangan mengenai kedaulatan dan keselamatan negara.
“Dengan CIQS kini beroperasi sepenuhnya dan dikawal oleh pegawai Imigresen, Polis, dan Kastam Malaysia, isu kewujudan Pos GABMA perlu dikaji semula bagi mengelakkan sebarang persepsi bahawa kedaulatan negara mungkin terjejas,” tegasnya.



