ARTIKEL

Persekitaran bebas ASAP ROKOK

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

HARI ini 31 Mei sperti tahun-tahun lepas ditetapkan sebagai Hari Tanpa Tembakau Sedunia bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat tentang bahaya rokok ke atas kesihatan.

Ia juga sebagai usaha melahirkan masyarakat yang peka akan masalah kesihatan akibat tabiat merokok bagi meminimumkan jumlah perokok, sekali gus mencegah penyakit kronik yang berpunca daripada asap rokok.

Menurut laman rasmi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Hari Tembakau Sedunia 2024 bertemakan “Melindungi Kanak-kanak Daripada Gangguan Industri Tembakau”.

Ia bagi menamatkan penyasaran produk tembakau berbahaya kepada golongan muda terutamanya yang masih di bawah umur.

Selain itu, ia juga bertujuan menggesa kerajaan supaya menerima pakai dasar yang melindungi golongan muda daripada taktik manipulatif pemasaran tembakau atau industri berkaitan.

Menurut WHO, industri tembakau menyasarkan golongan muda atas keuntungan semata-mata untuk sepanjang hayat dengan mencipta kesan ketagihan baharu.

Jelasnya, ia terbukti apabila kadar penggunaan rokok elektronik (e-rokok) terhadap kanak-kanak lebih tinggi berbanding dewasa.

Di peringkat global pula, dianggarkan 37 juta remaja berumur 13 sehingga 15 tahun menggunakan tembakau.

Dalam usaha mewujudkan persekitaran bebas rokok, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) pada April lalu menjalankan Operasi Mega Bersepadu Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) di bandar raya Miri.

Operasi itu juga dijalankan secara serentak di peringkat bahagian dan daerah seluruh Sarawak, bertujuan untuk menguatkuasakan peraturan kawalan hasil tembakau yang ditetapkan dalam PPKHT 2004.

Menurut kenyataan Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Miri, seramai 60 anggota dari seluruh daerah termasuk anggota Seksyen Inspektorat dan Perundangan Negeri (UIPN) terlibat dalam operasi tersebut.

“Dalam operasi yang dijalankan, pasukan operasi memeriksa 515 premis di bandar raya Miri yang terdiri daripada kedai makan, pusat beli-belah, lapangan terbang, hospital, tandas awam, bangunan kerajaan dan hentian pengangkutan awam.

“Daripada jumlah itu sebanyak 48 notis 32B di bawah PPKHT 2004 dikeluarkan di bawah peraturan tersebut dan nilai kompaun yang dikenakan sebanyak RM12,750.

“Melalui operasi yang sama, sebanyak 102 karton rokok pelbagai jenama dirampas kerana menyalahi PPKHT 2004 dengan nilai rampasan RM4,305.50,” menurut kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, PKB Miri berkata, operasi sedemikian juga dijalankan bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya merokok dan kesan penyalahan penggunaan rokok yang boleh membawa masalah penyakit tidak berjangkit.

Mengulas lanjut, ia juga harus dijalankan secara berterusan di semua daerah di seluruh Sarawak bagi memastikan penguatkuasaan PPKHT 2004 dapat dipertingkat, sekali gus memupuk budaya sihat dalam kehidupan masyarakat,” tegasnya.

Di samping itu, orang ramai juga memberikan pandangan positif tentang usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam langkah meningkatkan persekitaran bebas asap rokok.

Angelina Cassavera Jellif, 23, berpendapat, KKM menjalankan tugas dan amanah yang sangat baik dalam usaha mewujudkan persekitaran bebas asap rokok.

“Tindakan KKM untuk melaksanakan larangan merokok di tempat awam adalah langkah positif bagi meningkatkan kesihatan masyarakat secara keseluruhan.

“Larangan merokok dapat mengurangkan asap rokok yang pasif, serta mendorong gaya hidup lebih sihat,” katanya.

Manakala, Paul Harry Diyus, 24, berpendapat, tindakan terhadap pekerja atau pemilik premis perlu dikenakan sekiranya didapati menjual rokok kepada golongan bawah umur.

“Saya dapati kebanyakan premis terutamanya kedai runcit atau makanan, bahkan individu juga banyak menjual rokok kepada golongan bawah umur dengan begitu mudah.

“Tindakan sedemikian menyebabkan berlakunya ketagihan rokok dan ia juga meningkatkan risiko kesihatan mereka.

“Oleh itu, saya amat mengharapkan agar pihak berkuasa melakukan pemantauan secara bersembunyi dan sekiranya terbukti mereka menjualnya kepada golongan bawah umur, lakukan serbuan serta-merta dan dikenakan denda,” katanya.

Sementara itu, Cornellius Roddy, 29, berpendapat, larangan merokok di tempat awam merupakan langkah yang sangat wajar.

“Kesedaran orang ramai tentang bahaya merokok atau kesan asap rokok masih kurang.

“Justeru, saya berpendapat bahawa, selain daripada pelaksanaan kempen antirokok, larangan daripada KKM ini juga membantu memberi kesedaran kepada orang ramai.

“Kita sedia maklum bahawa tempat awam memang dipenuhi oleh pelbagai golongan termasuk golongan berisiko seperti bayi, ibu mengandung dan penderita pesakit kronik.

“Walaupun mereka tidak merokok, tetapi sekiranya mereka terhidu asap rokok tersebut, ia boleh memberi kesan yang sangat buruk ke atas kesihatan,” ujarnya.

BERITA LAIN

PENTAS SI CILIK serlah potensi diri

Pertandingan Putra Putri Cilik 2026 Edisi Karlas menjadi medan mencungkil bakat kanak-kanak dan remaja, di samping membina keyakinan diri, memupuk keberanian serta menyemai nilai keprihatinan

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

BERITA TERBARU

Langgur ngemanah ICQS Biawak agi dipansik

KUCHING: Langgur ngemanahka Kompleks Imigresyen, Kastam, Kuarantin enggau Pengelikun (ICQS) Biawak agi dipansik nengah ‘feasibility study’ Pelin Besai Pemansang Kandang Menua Sarawak. Menteri Dagang Temuai,