Persidangan orkid bawa Sarawak ke pentas dunia

KUCHING: Persidangan Orkid Asia Pasifik Ke-13 (Apoc 13) 2019 merupakan jaringan terbaik peringkat antarabangsa dalam memelihara spesies orkid.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Penasihat Apoc 13 2019 Datuk Jaul Samion berkata, Kerajaan Sarawak melihat aktiviti seperti Apoc 13 mencipta rangkaian hubungan interaktif positif.

“Ia juga baik untuk perkongsian maklumat antara pakar, penanaman komersial, pemuliharaan dan sebagainya.

“Oleh itu, ia memberikan perhatian yang relevan kepada banyak aspek penting dalam keindahan dan pemuliharaan orkid.

“Kami berbesar hati menyokong usaha sedemikian,” katanya pada Majlis Makan Malam Negeri Apoc 13 di sini, malam kelmarin.

Jaul menjelaskan, bunga mempunyai banyak fungsi termasuk diguna untuk menenangkan hati orang melihatnya.

“Ia dapat dijadikan ubat, hiasan, makanan dan barangan kosmetik.

“Jelas sekali, pemilihan orkid dari seluruh dunia dalam acara ini pasti menghiburkan hati dan menimbulkan minat kepada setiap pelawat,” katanya.

Beliau juga menjelaskan banyak penanam, pakar dan peminat bunga memanfaatkan peluang terbaik yang terdapat dalam acara seperti itu.

“Ia juga untuk membincangkan topik kegemaran dan banyak penyelidik berusaha mempamerkan penemuan terbaru mereka dalam persidangan tersebut,” jelasnya.

Beliau berharap Apoc 13 ini dapat memberikan kesedaran awam termasuk kesedaran terhadap alam semula jadi dan hidupan liar.

“Ia juga akan menggalakkan minat, cinta kepada bunga dan sebagainya.

“Saya berharap semua perwakilan dan peserta dapat mewujudkan kerjasama antarabangsa dan menjalin persahabatan dalam industri orkid, bukan hanya menikmati keindahan tumbuh-tumbuhan dan bunga orkid di pameran,” jelasnya lagi.

Turut diadakan semalam adalah penyampaian hadiah dalam pelbagai kategori termasuk dua penerima hadiah utama.

Dua penerima kategori ‘Best Hybrid of The Show’ dimenangi Orchidwood manakala ‘Best Spesis of the Show’ dimenangi Dr. Chiew King Siong masing-masing membawa pulang RM2,500 serta plak.

Hadir mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg adalah Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah serta isteri dan beliau turut menyampaikan hadiah utama kepada kedua-dua pemenang tersebut.

Suara Sarawak