KUCHING: Pemilihan Bandaraya Kuching sebagai tuan rumah Pertandingan Koir Antarabangsa, Forum dan Bengkel 2025 mampu memberikan pulang ekonomi anggaran RM9.8 juta kepada Sarawak.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan berkata, pertandingan anjuran pertubuhan kebudayaan Jerman, INTERKULTUR itu juga dijangka mampu mewujudkan sebanyak 781 peluang pekerjaan kepada komuniti.
“Impak ekonomi acara ini diunjurkan agak besar dengan anggaran RM9.8 juta dan sekurang-kurangnya RM5.3 juta dalam perbelanjaan perwakilan langsung, hasil cukai sebanyak RM590,000 di samping mewujudkan sebanyak 781 peluang pekerjaan,” katanya pada sidang media yang diadakan di Bangunan Baitulmakmur 2 di sini, hari ini.
Sementara itu kata Snowdan, pertandingan julung kali diadakan di Sarawak yang bakal berlangsung pada 2025 itu dijangka menarik 1,000 peserta ke Kuching, termasuk 800 daripada pelbagai peserta dari negara luar.
Bertemakan menyanyi bersama membawa negara bersama, Snowdan berkata pertandingan itu mempunyai kepentingan kebudayaan yang mendalam untuk Sarawak.
“Sarawak telah mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai tuan rumah bagi festival muzik, termasuk Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) dan Festival Muzik Borneo 2022 sekali gus membuktikan komitmen Sarawak memelihara kebudayaan muzik di samping membentuk persada muzik moden.
“Sama ada tradisional, etnik atau pop, muzik merupakan bahagian yang meriah di Sarawak dan INTERKULTUR serta perwakilannya digalakkan untuk meneroka persada muzik tempatan, bekerjasama dengan bakat tempatan, dan menyumbang kepada komuniti kreatif di negeri ini,” katanya.



