BELADIN: Beberapa projek rintis pertanian cara moden bakal diwujudkan di Beting Maro bagi membuka mata masyarakat tentang kaedah baharu bidang tersebut yang digunakan masa ini seterusnya menggalakan keterlibatan mereka.
Adun Beting Maro Razaili Gapor memberitahu, masyarakat khususnya kumpulan petani mahu tidak mahu perlu berubah mengikut peredaran zaman dan kehendak semasa.
“Sebab itu, saya merancang untuk mengatur projek rintis supaya masyarakat boleh belajar.
“Insha-Allah tahun ini saya akan membuka pusat rintis tanaman sayur secara fertigasi dan mewujudkan pusat pembekalan anak-anak benih (nurseri) buah-buahan, sayur-sayuran dan bunga-bungaan di Beladin.
“Sekiranya rancangan ini sudah berjalan kelak, tiada alasan untuk mengatakan ‘sik pande’ dan yang penting kemahuan kita sendiri untuk belajar demi menguasai sesuatu,” katanya.

Beliau bercakap demikian ketika merasmikan Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Peringkat Kampung Beladin yang berlangsung di Dewan Masyarakat, malam semalam.
Jelasnya, kaedah pertanian moden yang giat dibangunkan di Sarawak kini tidak memerlukan tanah yang besar.
Beliau mengharapkan agar petani termasuk golongan muda dapat mengambil peluang untuk terlibat sama dalam bidang pertanian moden.
“Kerajaan Sarawak menyasarkan negeri ini bakal menjadi pengeluar makanan dan usaha yang kita rancang sebagai sokongan dalam menampung keperluan yang akan meningkat pada masa hadapan.

“Walaupun Beladin kini sudah membuka tanah seluas-luasnya untuk tanaman nanas dan sudah mengeluarkan hasil, tetapi hasilnya masih tidak mencukupi.
“Saya mengharapkan dengan perancangan yang rapi, Beting Maro diharap dapat menjadi salah satu pengeluar makanan yang ada di negeri ini,” ujarnya.
Menyentuh isu pembangunan, Razaili memaklumkan beberapa projek akan dilaksanakan pada tahun ini antaranya pembinaan kemudahan arena sukan (RM1.1 juta), pusat komuniti dan penginapan (RM1.5 juta), medan selera dan pusat penjaja (RM1.8 juta) serta naik taraf kawasan rekreasi (padang) di tebingan sungai.
Sementara itu, sebanyak 68 buah rumah mampu milik hampir siap untuk golongan nelayan. Manakala 210 unit lagi belum dibina.
Katanya, semua projek yang dirancang merupakan usaha menyokong aktiviti penduduk.
Pada majlis yang sama, beliau menyampaikan sumbagan kepada 28 pelajar serta 10 bakal haji.
Hadir sama Penghulu Kampung Beladin Mahbang Labek.




