ARTIKEL

Pertaruhan politik menjelang PRN Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SEWAKTU mempertimbangkan untuk terus hidup atau membunuh diri, Hamlet, watak utama dalam drama dengan tajuk yang sama karya Shakespeare bermonolog – to be or not to be – that is the question.

Setiap satu pilihan mempunyai implikasi yang tersendiri.

Jika terus hidup, dia akan menghadapi ujian dan dugaan serta mungkin juga kesengsaraan.

Jika membunuh diri, kesengsaraan kehidupan di dunia berakhir.

Tetapi terdapat kebimbangan bahawa selepas mati, mungkin ada dugaan lain yang menunggu seseorang dan mungkin lebih sukar.

Bagi tiga parti politik dalam Pakatan Harapan (PH) yang bertapak di Sarawak, menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan sebelum penghujung tahun depan — 2026 — mereka juga berdepan dengan persoalan dilema seperti Hamlet.

Bagi mereka, pertanyaan to be or not to be ialah hendak bertanding atau tidak dalam PRN tersebut.

Setiap satu pilihan mempunyai implikasi yang tersendiri terhadap kelangsungan PH.

Jika diserahkan kepada pimpinan negeri tiga parti PH itu — Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP, keputusan konsensus adalah “ya, kami kan bertanding.”

PKR Sarawak secara terbuka sudah pun menyatakan kesediaannya untuk berperang dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam PRN nanti.

Amanah dan DAP juga menyatakan pendirian yang sama — mahu meletakkan calon-calon masing-masing melawan GPS.

Tersirat di sebalik pendirian mereka itu ialah, apa guna menjadi parti politik kalau tidak turun ke gelanggang.

Sampai bila-bila mereka menguji populariti dan pengaruh parti dalam kalangan pengundi.

Sampai bila mereka akan dapat berkuasa atau menjadi pembangkang di Dewan Undangan Negeri Bumi Kenyalang?

Sampai bila-bila mereka sekadar menjadi penonton dalam politik Sarawak dan tidak dapat memainkan peranan sebagai pengimbang dan penyemak kepada kerajaan yang berkuasa.

Namun pemimpin PH Sarawak tahu bahawa dalam kerangka politik semasa di peringkat Persekutuan, mereka tidak mempunyai keputusan mutlak untuk bertanding atau tidak. Hal ini kerana di Sarawak, PH ialah parti pembangkang terhadap GPS. Namun pada peringkat pusat, PH dan GPS ialah rakan dalam Kerajaan Madani.

Dalam konteks ini, PH Sarawak tahu bahawa pimpinan pusat PH khususnya pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memberi lampu hijau sama ada PKR, Amanah dan DAP Sarawak boleh menyertai PRN yang akan datang atau tidak.

Tetapi beberapa pemimpin kanan lain sudah membuat ulasan yang berbentuk play safe pada waktu ini.

Mungkin untuk memberi peluang kepada bos mereka membuat keputusan menang-menang. Jurucakap PH, Datuk Fahmi Fadzil, apabila mendapat tahu PKR Sarawak membuat keputusan ingin meletakkan calon melawan GPS, menyatakan pimpinan tertinggi PH masih belum membincangkan perkara itu.

Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek, sewaktu berkempen dengan pimpinan wanita PKR di Kuching bagi mempertahankan jawatan yang disandangnnya dalam sayap kanan parti itu dalam pemilihan PKR menegaskan keutamaan PKR sekarang untuk mengukuhkan kestabilan Kerajaan Madani.

Barangkali secara tersirat yang ingin beliau nyatakan ialah untuk mengekalkan kestabilan Kerajaan Madani itu, hati GPS kenalah dijaga. Sarang tabuan janganlah dijolok.

Hal ini kerana sokongan yang diberikan oleh GPS kepada PH dan BN sewaktu Kerajaan Madani ditubuhkan selepas PRU November 2022 membolehkan Anwar menjadi Perdana Menteri ke-10. PH ada sebab untuk berasa terhutang budi kepada GPS dan Abang Johari.

Kalau tidak kerana GPS, PH kekal sebagai pembangkang. Impian Anwar untuk menjadi PM juga tidak dapat direalisasikan.

Atas sebab itu, sekiranya PKR atau Amanah bertanding, apa lagi kalau dengan restu Anwar sendiri, maka akan berlaku pertembungan sengit antara PH dan GPS di Sarawak dalam PRN negeri itu nanti.

Bayangkan Anwar serta pemimpin PH yang lain akan turun berkempen untuk memenangkan calon-calon gabungan parti politik pimpinannya menggunakan segala kekuatan jentera parti dan kerajaan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pula akan bertindak sebagai panglima perang untuk GPS.

Maka akan berlakulah pertembungan berpatah arang berkerat rotan antara PH dengan GPS di Bumi Kenyalang, pada hal di peringkat Persekutuan kedua-dua gabungan berada dalam Kerajaan Perpaduan atau Madani

Timbalan Perdana Menteri 2, Datuk Seri Fadilah Yusof, sebagai seorang pemimpin kanan GPS tentu tidak akan membiarkan Abang Johari bersilat sendirian.

Beliau juga akan turun membantu partinya berkempen.

Bayangkan apakah akan jadi dengan Kerajaan Persekutuan yang berteraskan madani pada waktu itu apabila PM dan TPM berlawan sesama sendiri?

Tidak mustahil ia tumbang dan Anwar serta pemimpin PH lain juga akan kehilangan jawatan dalam kerajaan.

Beranikah Anwar memperjudi kedudukannya hanya kerana mahu membenarkan PH bertanding dalam PRN Sarawak?

Rasanya tidak. Tambahan pula sebagai PM, beliau sudah berasakan nikmat memegang kuasa. Beliau tidak akan berbuat sesuatu yang tidak logik jika ingin terus berkuasa.

Justeru kalau Anwar ingin kekal sebagai PM, kita boleh mengandaikan PKR dan Amanah tidak akan diizinkan bertanding dalam PRN Sarawak.

Apa guna bertanding hanya untuk PKR atau Amanah kalah dalam PRN Sarawak dan pada waktu yang sama kehilangan Kerajaan Persekutuan.

Terimalah hakikat buat waktu ini, GPS di bawah pimpinan Abang Johari berada pada tahap popular yang sukar ditandingi.

Dasar-dasar dan program pembangunan beliau yang mengutamakan rakyat Sarawak diterima baik.

Janji-janji dalam PRN yang lalu mula dilaksanakan satu per satu. Beliau bukan seorang pemimpin munafik yang berjanji lain semasa berkempen dan tidak dilaksanakannya selepas mendapat kuasa.

Terbaharu, janji menawarkan pendidikan tinggi percuma kepada warga Sarawak yang mengikuti program sains dan beberapa bidang terpilih dalam bukan sains di institut pengajian tinggi milik Kerajaan Sarawak mulai pengambilan awal 2026, disambut gembira pelbagai pihak.

Ibu bapa yang mempunyai anak akan belajar di peringkat ijazah dan diploma mulai tahun depan tidak menyembunyikan sanjungan terhadap Abang Johari.

“Abang Jo seorang pemimpin yang benar-benar menjaga kebajikan rakyat,” kata seorang pemandu grab, Voon Boon Pin kepada saya minggu lalu.

“Anak saya yang kini sedang mengikuti kursus matrikulasi dalam bidang perakaunan, antara yang akan mendapat faedah pengajian tinggi percuma itu tahun depan,” katanya.

Dalam PRN pada Disember 2021, GPS memenangi 80 daripada 82 kerusi dengan majoriti selesa.

Dua dimenangi oleh DAP yang ada justifikasi untuk mempertahankan dua kerusi itu. PKR dan Amanah pada PRN itu kalah semua kerusinya.

Kolumnis Suara Sarawak, Rudi Affendi Khalik, dalam tulisannya Rabu lalu menjangkakan tidak sukar untuk GPS di bawah pimpinan Abang Johari untuk menang besar dalam PRN yang dijangka diadakan pada pertengahan 2026

. Kalau PKR atau Amanah bertanding juga, kedua-dua kerabat PH akan kehilangan semua kerusi yang ditandingi sama seperti prestasi mereka pada PRN 2021.

Malah beliau mengibaratkan PKR dan Amanah sebagai berenang di lautan api yang akan membawa kemusnahan pada diri sendiri.

Justeru, supaya yang dikendong tidak keciciran dan yang dikejar tidak dapat, apa kata PH lupakan hasrat bertanding!

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Empat projek naik taraf sistem elektrik di Betong

KUCHING: Empat projek naik taraf sistem bekalan elektrik di Bahagian Betong dijangka dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13). Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi