SERIAN: Kerusi Parlimen Serian menyaksikan pertembungan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempertaruh Datuk Seri Richard Riot Jaem manakala Parti Tindakan Demokratik (DAP) meletakkan calonnya Learry Jabul, 42.
Turut bertanding di kerusi berkenaan ialah calon Bebas, Alim Impira, 61 dan seorang calon wanita iaitu Elsiy Tinggang,61,dari Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Pengesahan empat calon terbabit diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Lim Hock Meng.
Richard Riot, 70, tiba di Pusat Penamaan Calon (PPC) sekitar jam 8.35 pagi mengenakan baju lambang parti diiringi pencadangnya Adun Kedup Maclaine Ben dan penyokongnya Adun Bukit Semuja John Ilus.
Turut hadir menyokong beliau Adun Tebedu Dr Simon Sinang Bada.
Menariknya calon GPS itu diiringi sekitar lebih seribu penyokong dengan mengunakan baju lambang parti beserta bendera GPS dengan laungan ‘GPS menang’.
Selain itu, sekitar puluhan penyokong dari calon PSB dan DAP turut kelihatan dengan lambang logo parti masing-masing.
Meskipun dalam keadaan cuaca panas, para penyokong berkenaan tidak berganjak dari kawasan lapang dewan tersebut sehingga jam 12.36 tengah hari tadi, sementara menunggu nama calon diumumkan secara rasmi.
Untuk rekod, penyandang Ahli Parlimen Serian merangkap Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak(SUPP) itu telah menerajui Parlimen Serian selama enam penggal.