Usaha memperkukuhkan ikatan kekeluargaan menjadi matlamat utama penganjuran Majlis Ramah-tamah Aidilfitri Keluarga Haji Johari yang berlangsung meriah di Dewan Komuniti Kampung Haji Baki, Kuching pada Sabtu lalu.

Menurut Ketua Penganjur Majlis, Noreffendi Da’an, 59, yang juga pesara pendidikan, penganjuran julung kali itu adalah inisiatif untuk mempertemukan semula keluarga besar Johari yang kini berkembang hingga lima generasi.
“Saya merupakan generasi ketiga dalam keluarga Johari. Apabila melihat orang tua semakin ramai yang meninggal dunia, saya rasa keperluan untuk menyatukan semula keluarga menjadi semakin mendesak,” katanya ketika ditemui di Dewan Komuniti Kampung Haji Baki.
Tambah beliau, faktor kediaman yang berjauhan akibat urusan mencari rezeki menyebabkan hubungan kekeluargaan menjadi semakin renggang.
“Dulu kami tinggal berdekatan. Sekarang, kerana komitmen kerja dan kehidupan masing-masing, ramai sudah menetap jauh. Sebab itu, saya fikir perlu lakukan sesuatu supaya hubungan kekeluargaan tidak terputus,” katanya.
Katanya, dua bulan sebelum Aidilfitri, beliau mula merancang dan berpendapat bahawa sambutan hari raya adalah platform terbaik untuk mempertemukan semua ahli keluarga.
“Di Sarawak ini, aktiviti ramah-tamah Aidilfitri memang budaya. Jadi, saya lihat ia peluang yang sangat sesuai untuk mengadakan pertemuan semula keluarga yang sudah lama tidak berjumpa,” katanya.
Menurut Noreffendi, keluarga Johari berasal dari Kampung Tupong Batu, Petra Jaya. Johari Muhammad merupakan pengasas rumpun keluarga ini dan seorang guru mengaji yang dihormati di kampung.
GENERASI PERTAMA
“Rumpun asal keluarga kami memang daripada satu kampung. Orang dulu-dulu biasanya berkahwin sesama kampung. Johari adalah generasi pertama dan bapa saya merupakan anak ketujuh beliau,”ujarnya.

Beliau menjelaskan, walaupun sebelum ini ada majlis tahlil keluarga diadakan, namun ini adalah kali pertama program sebegini dibuat dalam skala lebih besar.
“Kami gunakan dewan buat pertama kali. Saya tinggal di Jalan Datuk Muhammad Musa, Batu 8. Memandangkan bukan mudah memilih tempat, saya pilih Dewan Komuniti Kampung Haji Baki kerana dari segi pengurusan lebih senang… ipar saya pula ahli jawatankuasa (AJK) kampung, jadi urusan tempahan lebih mudah,” jelasnya.
Katanya lagi, kehadiran majlis amat memberangsangkan dengan kira-kira 80 orang daripada 16 keluarga kecil yang turut serta.
Dari aspek logistik, Noreffendi berkata beliau cuba memastikan program tidak membebankan mana-mana pihak.
“Ini kali pertama, jadi saya tidak mahu letak yuran pendaftaran yang tinggi. Takut orang tidak mahu hadir. Saya tetapkan yuran rendah dan minta setiap keluarga bawa juadah masing-masing. Supaya lebih meriah dan semua rasa terlibat,” katanya.
Dalam temu bual itu, beliau turut berkongsi kenangan mengenai pesanan Haji Johari yang masih segar dalam ingatannya.
“Pesanannya, sejauh mana pun kita pergi, bila tiba masa belajar mengaji, mesti balik. Kalau tidak balik, kena ingat sendiri. Dari kecil, Johari tekankan asas agama dan pentingnya menjaga hubungan kekeluargaan,” ujarnya.
Tambah beliau, meskipun ada kalanya berlaku perselisihan dalam kalangan orang tua, Johari berpesan supaya anak-anak tetap kekal mesra dan tidak mewarisi sengketa tersebut.
Beliau turut menyatakan, kepentingan program ini bukan sekadar untuk bertemu muka, tetapi untuk mendidik generasi muda mengenai pentingnya mengetahui asal usul keluarga mereka.
“Saya mahu generasi kelima dan seterusnya tahu asal usul mereka. Tidak cukup hanya kenal nama; perlu tahu salasilah dan nilai yang ditinggalkan,” jelasnya lagi.
Menurutnya, perasaan menyaksikan kejayaan majlis itu sukar digambarkan.
“Subhanallah, ada dalam kalangan anak saya dan anak sepupu yang menjadi kawan baik, tetapi tidak tahu mereka sebenarnya bersaudara. Begitu juga, dalam majlis itu, yang paling tua hadir berusia 85 tahun,” ujarnya dengan penuh rasa syukur.

generasi kedua keluarga Johari.
Sebagai pesara guru, beliau berharap agar usaha ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
“Saya hanya pencetus idea, tetapi tidak mungkin mampu melaksanakan ini seorang diri. Berbincang semasa Ramadan, selepas solat tarawih, kami sepakat adakan program ini. Harapan saya, dengan respons yang positif ini, program seumpama ini diteruskan dan menjadi tradisi keluarga,” kata beliau.
Akhir sekali, Noreffendi menegaskan bahawa program itu bertujuan untuk memastikan generasi muda sentiasa mengenali ahli keluarga mereka.
“Kalau tidak rapat pun, sekurang-kurangnya apabila berjumpa di mana-mana, mereka boleh bertegur sapa. Itu sudah memadai,” ujarnya.



