LIMBANG: Peruntukan bagi pelaksanaan inisiatif pendidikan tinggi percuma Kerajaan Sarawak dijangka meningkat RM1 bilion dari semasa ke semasa bagi memperluas peluang pendidikan kepada anak-anak Sarawak.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, Kerajaan Sarawak membelanjakan kira-kira RM500 juta bagi inisiatif berkenaan tahun ini dan jumlah itu dijangka terus meningkat pada masa akan datang.
Menurutnya, peruntukan itu merupakan pelaburan penting dalam pembangunan modal insan bagi memastikan Sarawak mempunyai tenaga kerja yang mencukupi dan berkemahiran untuk memenuhi keperluan pekerjaan pada masa hadapan.
“Sarawak sememangnya memberi tumpuan kepada pendidikan dan Premier menyediakan peruntukan bagi membolehkan anak-anak negeri ini melanjutkan pengajian secara percuma di universiti milik Sarawak.
“Inisiatif ini untuk memastikan Sarawak mempunyai tenaga kerja yang mencukupi bagi mengisi peluang pekerjaan pada masa hadapan, khususnya dalam bidang teknologi, termasuk tenaga hijau dan teknologi baharu yang dipelopori oleh Premier,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Citra Minda Intergenerasi sempena Sambutan Hari Warga Emas Bahagian Limbang anjuran Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Limbang, di Dewan Suarah Limbang, hari ini.
Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota berkata, tumpuan terhadap bidang teknologi, tenaga hijau dan sektor baharu penting bagi menyediakan generasi muda menghadapi perubahan landskap pekerjaan.
Jelasnya, peluang pendidikan yang lebih luas membolehkan anak-anak Sarawak memperoleh pengetahuan, kemahiran dan kelayakan yang bersesuaian dengan keperluan pasaran pekerjaan.
Abdul Rahman berkata, langkah itu sekali gus dapat memperkukuh tenaga kerja tempatan yang berdaya saing serta berupaya mengisi peluang pekerjaan berkemahiran tinggi selaras dengan agenda pembangunan Sarawak.






