DI pentas politik, beliau figura unik. Kasar dan ganas apabila berhujah, dan tanpa tapis apabila menghambur kata.
Hujahnya, tepi dengan dialek Sabah yang unik. Tetapi itulah keistimewaannya.
Bung Mokhtar Radin. Siapa yang tidak kenal?
Bagi penulis, veteran politik ini penuh warna-warni, kerana apabila membuka mulut, tumpuan pasti tertumpu kepadanya
. Kadang-kadang yang dihambur adalah emosi, ada ketikanya jenaka dan sinis yang tidak bertempat.
Adakala tempik yang luar biasa. Tetapi lelaki bersuara kasar ini akan dikenang kerana satu insiden seranah, atau kata kesat yang dihamburnya kepada Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin di Dewan Rakyat pada 7 Ogos 2018.
Ia bermula apabila Willie mendakwa Bung Moktar telah mengunjungi sebuah kasino. B
ung kemudian menuding jari ke arah Willie dan menuduh beliau bersikap biadab, sambil menuntut agar kenyataan tersebut ditarik balik.
“Apa ni, biadab, ini kurang ajar! Samseng! What you want?
You nak gaduh dengan saya? Any time!” Insiden itu tular sehingga hari ini.
Namun manusia seperti Bung, hanya kasar ketika beraksi.
Di sebalik watak itu, beliau adalah seorang yang mesra dan ramah.
Bahkan menurut seorang ahli parlimen veteran, Bung merupakan seorang individu yang disukai semua orang, kawan atau lawan. Nama sebenar “Bung” ialah Moktar Radin.
Memecah tangis di Kampung Bilit, Sukau, Kinabatangan, Sandakan pada 15 September 1959.
Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Bilit.
Manakala pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sandakan sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan memperoleh ijazah Sarjana Falsafah dalam Analisis Dasar dan Keselamatan.
Sebelum menjadi ahli parlimen, beliau berkhidmat di Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sandakan dari 1987 hingga 1990.
Di sinilah permulaan beliau mengenali politik. Bung kemudian berpindah tugas sebagai pegawai di Majlis Amanah Rakyat (MARA) di pejabat cawangan Sandakan selama dua tahun, sebelum dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menter Kewangan Sabah pada 1994-1999.
Beliau mula melibatkan diri dalam politik pada usia 19 tahun apabila menjawat Ketua Pemuda Bahagian USNO Kinabatangan pada 1978, jawatan yang dipegangnya selama 12 tahun
. Ketika itu, Bung turut dilantik sebagi Exco Pemuda USNO, bermula pada 1980 hingga 1991.
Apabila Berjaya dan USNO bercantum untuk membentuk UMNO Sabah, Bung turut mengikuti perkembangan tersebut. Beliau dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan sejak 1991, seterusnya menjawat Ketua Penerangan Pemuda UMNO Sabah juga untuk tempoh yang sama, selama dua penggal.
Kali pertama beliau bertanding dalam pilihan raya ialah pada Pilihan Raya Negeri Sabah 1994 bagi kerusi Kuamut, sebuah kubu kuat pembangkang ketika itu. Bung yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) tapi tewas.
Kerana percaya akan kepimpinannya, BN dan UMNO Sabah mencalonkan beliau sekali lagi, kali ini di kerusi Parlimen Kinabatangan pada Pilihan Raya Umum 1999. Kali ini beliau menang selepas menewaskan calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Ali Latip Taha.
Bung tidak lagi menoleh ke belakang. Kinabatangan menjadi kerusi kuatnya dan berjaya mempertahankannya dalam PRU 2004, 2008, 2013 dan 2018.
Selepas 21 tahun, apabila politik Sabah dilanda kemelut, Bung dipilih untuk bertanding, sebelum menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag sejak September 2020.
Ketika inilah beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya Sabah dari September 2020 hingga Januari 2023; apabila beliau digugurkan gara-gara usaha untuk menjatuhkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Nor, dengan membentuk pakatan dengan bekas Ketua Menteri yang juga Pengerusi Parti Warisan Rakyat Datuk Seri Shafie Apdal.
Kedudukan sebagai pembangkang tidak menjadikan bekas Pengerusi FELCRA Berhad dari 2013 hingga 2018 ini ralat.
Bekas Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) dari 2008 hingga 2018 ini pernah berada di kedudukan yang sama di Dewan Rakyat ketika UMNO dan BN bukan kerajaan pada 1998.
Dalam PRN Sabah 2025, Bung berjaya mempertahankan kerusi DUN Lamag, namun tidak sempat mengangkat sumpah, apabila menghembus nafas terakhir enam hari selepas kemenangan tipis.
Beliau meninggal dunia di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu selepas dimasukkan ke hospital tersebut kerana komplikasi buah pinggang dan jangkitan paru-paru.
Menariknya, selepas kematiannya, segala kebaikan Bung yang dibayangi wajah garang dan ayat kasarnya terbongkar.
Pemergian Bung ditangisi rakan dan musuh, apatah lagi isteri dan anakanaknya.
Bung di sebalik kerasnya, adalah seorang penyayang, yang di hatinya ada ‘taman’.
Kedua-dua isterinya dapat hidup bersama, sambil anak-anaknya melihatnya sebagai bapa yang penyayang.
Rakaman video membuktikan sisi istimewa tersebut, sehingga adik iparnya, pelakon Shaheizy Sam menyifatkan sukar untuk melihatnya meninggikan suara.
Malah lelaki ini dikatakan seorang yang cukup pemurah dan dermawan, sehingga dikatakan menjadi penyumbang senyap kepada beberapa organisasi.
Malah ada yang mendedahkan bagaimana Bung membantu seorang individu membayar yuran pengajian PhD ketika dia hampir berputus asa.
Justeru, Bung sebenarnya individu yang banyak wajah. Beliau juga seorang yang gemar mengusik, termasuk di Parlimen, sekadar untuk menceriakan suasana
Kerana itulah sebenarnya beliau terlibat dalam kontroversi ayat “bocor” yang disifatkan bersifat seksis dan lucah terhadap Ahli Parlimen DAP Batu Gajah Fong Po Kuan semasa sesi Parlimen pada 2007, ketika berbahas mengenai masalah kebocoran di bangunan Parlimen
. “Mana ada bocor? Batu Gajah pun bocor tiap-tiap bulan juga!” Beliau kemudian menawarkan permohonan maaf atas kenyataan tersebut, tetapi ditolak oleh Fong kerana dianggap tidak ikhlas.
Beliau juga mengejek Karpal Singh sebagai orang kurang upaya dalam sesi pertama Parlimen selepas PRU 2008, selepas Karpal menggelarnya “Bigfoot” dari Kinabatangan.
Kontroversi paling besar Bung sudah tentulah apabila beliau berpoligami tanpa kebenaran dengan pelakon Zizie Ezzete. Pada 20 April 2010, Bung mengaku bersalah melakukan poligami tanpa kebenaran pendaftar perkahwinan.
Beliau telah dijatuhkan hukuman penjara sebulan, namun akhirnya dibebaskan dengan jaminan. Biar apa-apa pun kontoversi yang dilaluinya, Bung diingati kerana kesetiaannya kepada parti.
Dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020, beliau menceritakan apa yang berlaku kepadanya, yang dipertanggungjawab memimpin UMNO Sabah selepas semua pemimpinnya meninggalkan parti itu, untuk menubuhkan BERSATU Sabah.
Kata Bung, beliau dihubungi Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mengambil alih peranan.
“Kami memang tidak gila jawatan.
Kami ambil peranan kerana untuk menguatkan parti!” Katanya, bukan senang untuk membina semula parti itu, selepas kalah.
Mereka bukan sahaja dihina dan dilabel dengan pelbagai gelaran, bahkan menjadi seperti ‘udang tanpa mata’.
Namun kerana kesetiaan, beliau dan rakan-rakan tetap harungi segala-galanya dengan penuh keyakinan, walaupun ada ketikanya, beliau sendiri tidak yakin.
Bung telah pergi. Namun watak dan perwatakannya akan terus hidup dan menjadi ingatan.
Bung ialah ahli politik istimewa, kerana beliau bukan jenis yang “ambil hati” dan “muncung berpanjangan”.
Ini diakui oleh rakan dan lawan termasuk Hajiji, Shafie dan Datuk Seri Shahidan Kassim, serta Ahli Parlimen Kota Belud daripada WARISAN’ Isnaraissah Munirah Majilis.
Biar berbeza parti katanya, namun individu seperti Bung tidak akan mengalah dan senyap jika ia berkait dengan negeri kesayangannya, Sabah.
Beliau akan bersilat, menyindir dan menyihir di Dewan Rakyat, demi memastikan hak Sabah tetap dipertahankan.
Dan, ia juga disuarakannya dengan lantang sewaktu bermesyuarat dan berhujah dalam perhimpunan partinya, UMNO.
Namun pesanan terakhir Bung ketika kempen PRN Sabah barubaru ini, benar-benar memberi makna mendalam.
Pesanan itu memberi makna mendalam kerana di sebalik kempen yang panas, adab menjaga sahabat dan lawan harus diutamakan.
Jangan sesekali kita membongkar aib orang lain, sebab orang lain nanti akan bongkar aib kita.
Dan, mana mana hamba Allah yang tidak langsung membongkar aib orang lain, Allah akan lindungi aib dia dunia dan akhirat.
Jadi begitulah kita ini! Amalan bukan banyak pun. Jadi kita jauhlah dan elaklah kerja-kerja yang tidak baik itu.
Politik tetap politik, tetapi saudara tetap saudara, rakan tetap rakan.”
Semoga pesanan Bung menjadi azimat dan ingatan kepada kita semua
• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media Sarawak.






