ARTIKEL

PESONA SEMULA JADI TROMBOL

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BAYU LAUT yang dingin menyapa lembut wajah saya sebaik kaki memijak pasir putih yang terbentang luas di hadapan mata, disertai bunyi ombak yang tenang seolah-olah menyambut kedatangan saya dan rakan-rakan pada petang itu.

Cuaca yang sedikit mendung mencipta pemandangan dan suasana yang amat selesa untuk beriadah di tepi pantai.

Pantai Trombol di Kampung Trombol, kira-kira 30 kilometer dari bandar raya Kuching mengambil masa perjalanan sekitar 40 minit melalui jalan kampung yang dikelilingi pohon kelapa, tanaman padi dan rumah kampung.

Sepanjang perjalanan, kami disambut pemandangan hijau yang sejuk dan menenangkan, sementara penduduk tempatan kelihatan sibuk melakukan aktiviti harian mereka.

Suasana damai dan sunyi ini memberi isyarat bahawa kami bakal disajikan pengalaman percutian singkat yang berbeza jauh daripada suasana kesibukan di bandar.

Keunikan Pantai Trombol, yang terletak pada landskapnya yang masih asli, menjadikannya lokasi tumpuan masyarakat untuk meluangkan masa bersama-sama orang tercinta.

Pasirnya yang halus dan bersih, air lautnya yang jernih, serta beberapa sudut pokok bakau yang tumbuh meliar menggambarkan ciri istimewa panorama pantai tersebut.

Keindahan semula jadi ini menjadikan Pantai Trombol lokasi kegemaran jurugambar dan mereka yang gemar memuat naik gambar atau video di media sosial seperti Instagram, Facebook dan TikTok, terutamanya ketika fenomena matahari terbenam yang memukau

. Ramai pengunjung datang ke sini semata-mata untuk menikmati angin laut dan suasana santai tanpa gangguan bunyi bising. Saya dan rakan-rakan memilih untuk berkelah di kawasan yang disediakan, membawa bekalan makanan dan minuman dari rumah sebagai pelengkap suasana sambil duduk menikmati juadah ringan.

Walaupun angin di kawasan tersebut agak kuat, cuaca mendung menjadikan petang itu dingin tanpa terik matahari yang membahang. Semasa air laut surut, kawasan lumpur terbentang luas, mendedahkan hidupan kecil seperti ketam dan siput.

Ketika itulah saya dan rakan yang lain mengambil kesempatan berjalan jauh ke tengah untuk mengambil gambar, manakala ada juga yang hanya ingin menikmati deruan angin pantai sambil duduk berbual.

Salah satu aktiviti yang menyeronokkan bagi saya ialah bergambar di kawasan pokok bakau yang tumbuh di tengahtengah pasir dan sangat unik untuk dijadikan latar sesi bergambar.

Bahkan, kami juga sempat bermain air di tepi pantai.

Kenangan kecil seperti ini mengeratkan hubungan silaturahim kami. Langit mulai berubah menjelang lewat petang.

Sinaran matahari senja mula menembusi celahan awan mendung dan mencipta pemandangan indah yang sukar dilupakan.

Keadaan ini menjadikan suasana tersebut seperti sebuah lukisan semula jadi yang memukau mata pengunjung.

Pantai Trombol bukan sekadar destinasi percutian, malah sebuah tempat yang sesuai untuk menghayati keindahan alam dan mengeratkan hubungan sesama manusia.

Kedudukannya yang tersembunyi daripada pembangunan moden menjadikan lokasi tersebut sebagai permata tersembunyi yang wajib dikunjungi oleh mereka yang ingin mencari ketenangan daripada segala masalah.

Bagi pengunjung yang ingin melakukan aktiviti berkelah  di sini, saya mencadangkan supaya membawa bekalan makanan dan minuman sendiri serta memakai pakaian yang selesa dan sesuai untuk aktiviti di pantai.

Jika ingin merakam gambar matahari terbenam atau gambar yang estetik, digalakkan datang sekitar jam 5.30 petang kerana pencahayaan pada ketika itu berada pada tahap terbaik, sekali gus menjadikan gambar anda menarik untuk hantaran di media sosial.

Pengalaman seharian di Pantai Trombol memberikan kesedaran kepada saya bahawa keindahan alam semula jadi di Sarawak sangat bernilai dan perlu dipelihara.

Pantai ini mengajar saya untuk meluangkan masa bersama orang tersayang, menghargai ketenangan demi kesejahteraan jiwa, dan sekalisekala membiarkan diri larut dalam keindahan alam semula jadi tanpa gangguan teknologi.

Bagi saya, Pantai Trombol merupakan pilihan tepat bagi mereka yang ingin mencari lokasi percutian singkat yang menyegarkan minda dan jiwa daripada hiruk-pikuk bandar.

Rasailah kelembutan angin laut ini bersama-sama keluarga atau rakan-rakan, serta abadikan kenangan indah yang akan terus hidup dalam ingatan dan sukar dilupakan.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU