KUCHING: Orang ramai termasuk rumah ibadat dan persatuan keagamaan diseru mengurangkan aktiviti pembakaran terbuka serta pembakaran colok, lilin dan kertas sembahyang susulan keadaan jerebu yang semakin meruncing di Sarawak ketika ini.
Presiden Persekutuan Persatuan Cina Malaysia Cawangan Sarawak, Datuk Seri Richard Wee Liang Chiat berkata, ia memandangkan cuaca panas yang berpanjangan serta bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah paras 200, iaitu pada tahap sangat tidak sihat.
Menurutnya, hari ini merupakan hari pertama bulan ketujuh dalam kalendar lunar Cina yang menandakan bermulanya sambutan Pesta Hantu Lapar, sekali gus menyaksikan peningkatan aktiviti pembakaran colok dan kertas sembahyang oleh masyarakat Cina.
“Dalam keadaan jerebu yang semakin buruk ketika ini, saya berharap orang ramai dapat bertindak secara rasional dengan mengurangkan pembakaran colok, lilin dan kertas sembahyang buat sementara waktu.
“Sekiranya perlu, aktiviti tersebut boleh dilakukan pada skala lebih kecil atau digantikan pada masa lain apabila keadaan cuaca dan kualiti udara kembali pulih,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Richard yang juga Presiden Persekutuan Persatuan Tokong Sarawak berkata, banyak tokong dijangka mengadakan upacara keagamaan dan sembahyang sempena perayaan tersebut, namun aspek penjagaan alam sekitar dan kesihatan awam perlu diberi keutamaan.
Beliau turut menggesa tapak pembinaan menghentikan sementara aktiviti pembakaran sisa dan menggunakan kaedah pelupusan alternatif yang lebih mesra alam.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa kerajaan mengambil tindakan segera bagi mengurangkan kesan jerebu termasuk melaksanakan pembenihan awan serta menjalankan pemantauan dan penilaian kualiti bekalan air bagi mengelakkan sebarang risiko pencemaran.
“Langkah proaktif perlu dilaksanakan lebih awal bagi mengurangkan impak ke atas kesihatan rakyat dan alam sekitar.
“Kerajaan juga perlu bekerjasama dengan negara jiran bagi menangani kebakaran hutan pada peringkat awal supaya pencemaran udara dapat dikawal sebelum menjadi lebih serius,” ujarnya.






