KUCHING: Sempena Sambutan Hari Bandaraya Kuching Ke-38, Pesta Kuching 2026 bakal dimeriahkan dengan pelbagai acara berimpak tinggi, termasuk pertandingan basikal lasak dan festival kucing bertaraf antarabangsa.
Datuk Bandar Kuching Utara (DBKU), Datuk Hilmy Othman berkata, antara acara utama ialah sukan ekstrem bertaraf antarabangsa, Siol International Mountain Bike Challenge yang akan berlangsung dari 21 hingga 23 Ogos 2026.
“Selain itu, Festival Cahaya dan Flora 2026 pula akan diadakan dari 26 hingga 31 Ogos di Taman Botani DBKU yang mengetengahkan konsep dan tarikan baharu bagi memberikan pengalaman lebih menarik kepada warga bandar raya serta pengunjung.
“Festival Kucing Antarabangsa Kuching 2026 dijadualkan berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober di Tebingan Kuching bagi memberi peluang kepada pencinta kucing dan orang ramai menyaksikan pelbagai baka kucing dari dalam serta luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Bandaraya Kuching Ke-38 yang dirasmikan oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian di Teater MBKS, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, DBKU akan melaksanakan penanaman simbolik beberapa spesies buluh di kawasan pembangunan galeri yang dinamakan Taman Buluh seluas 25 ekar di Jalan Crookshank, Jalan Bampfylde, Jalan Roadway dan Jalan Taman Budaya bagi mengoptimumkan kawasan lapang sebagai ruang awam yang lebih bermanfaat kepada komuniti.
“DBKU turut mencadangkan pembangunan Park Connector Bandaraya Kuching, iaitu rangkaian infrastruktur hijau yang menghubungkan taman bandar dan kawasan pelancongan melalui laluan bersepadu, selamat serta mudah diakses,” jelasnya.
Mengulas inisiatif bandar pintar, beliau berkata DBKU telah mencapai Penarafan Bandar Pintar Tahap 1 dan kini mengatur langkah untuk mencapai Tahap 2.
Katanya, sejak 1994, DBKU telah menerima sebanyak 244 anugerah dan pengiktirafan pada peringkat negeri, kebangsaan serta antarabangsa dalam penyampaian perkhidmatan, inovasi dan tadbir urus bandar.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng berkata, Sambutan Hari Bandaraya Kuching tahun ini turut bertepatan dengan penganjuran Festival Kuching Ke-40.
“Festival ini mencerminkan identiti Kuching sebagai bandar raya yang mesra, berwarna-warni, inklusif dan berbangga dengan warisan berbilang budaya menerusi gastronomi, sukan, seni persembahan serta penglibatan komuniti.
“Sepanjang 38 tahun, Kuching berkembang daripada pusat pentadbiran di tebing sungai kepada bandar raya yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa menerusi makanan, warisan, kraftangan, kebersihan, keterangkuman dan kualiti hidup.
“Sesebuah bandar raya tidak hanya diukur berdasarkan pembangunan fizikal, sebaliknya turut mengambil kira keselamatan warga emas, keperluan kanak-kanak, keterangkuman golongan orang kurang upaya serta kesejahteraan peniaga kecil,” katanya.
Justeru, tambahnya, tema Ke Arah Bandar Raya Penyayang, Berdaya Tahan dan Mampan sempena sambutan itu mengingatkan orang ramai supaya pembangunan dilaksanakan untuk rakyat tanpa mengorbankan generasi akan datang.

