BINTULU: Lembaga Pelabuhan Bintulu (BPA) komited meneruskan sokongan terhadap Pesta Tumbina sebagai platform memperkukuh hubungan dengan komuniti, selain berpotensi dikembangkan sebagai produk pelancongan utama Bintulu.
Pengurus Besar BPA, Kapten Zakhir Khan Yusop berkata, penganjuran Pesta Tumbina menyediakan ruang strategik kepada pihaknya untuk menyumbang kepada masyarakat menerusi program melibatkan pelbagai lapisan komuniti.
“Kita amat yakin dengan pengurusan BDA dan percaya Pesta Tumbina ini bukan sahaja produk untuk komuniti pelabuhan, tetapi sebenarnya untuk seluruh wilayah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Pesta Tumbina 2026 di sini, hari ini.
Menurutnya, peningkatan akses jalan raya ke Bintulu turut membuka peluang lebih luas kepada Pesta Tumbina untuk menarik pengunjung dari luar kawasan, termasuk bahagian lain di Sarawak, Sabah dan Brunei.
Katanya, perkembangan infrastruktur serta kedudukan strategik Bintulu memberi kelebihan kepada Pesta Tumbina untuk berkembang sebagai tarikan pelancongan yang mampu menarik lebih ramai pengunjung dari rantau ini.
“Kita percaya dengan sokongan penuh BPA, Pesta Tumbina adalah salah satu cara untuk kita mendekati komuniti. Taman Tumbina ini boleh menghubungkan seluruh komuniti di rantau ini.
“Kita berharap pada tahun-tahun akan datang, Pesta Tumbina akan berkembang sebagai satu produk Bintulu yang akan menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.
Dalam pada itu, Kapten Zakhir berkata, BPA berharap bentuk sumbangan dan sokongan terhadap Pesta Tumbina dapat diteruskan serta diperkasakan pada masa hadapan bagi memperluas penglibatan masyarakat dalam aktiviti di Taman Tumbina.






