ARTIKEL

Para pemenang merakam kenangan bersama setelah tamat pertandingan.

PFA Odin Faiba juara Kejohanan Futsal Piala Perpaduan Edisi II 2026

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: PFA Odin Faiba merangkul kejuaraan Kejohanan Futsal Piala Perpaduan Edisi II Terbuka 2026 selepas menewaskan AZH Allstar 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi final di Redeems Arena, Apar Singai, Bau, semalam.

Kedua-dua pasukan terikat 0-0 selepas tamat permainan, sebelum PFA Odin Faiba lebih tenang dalam penentuan penalti untuk merangkul kejuaraan.

Pasukan PHA Odin Faiba dan AZH Allstar merakam kenangan sebelum perlawanan akhir.

Kemenangan itu membolehkan PFA Odin Faiba membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta piala dan pingat, manakala AZH Allstar selaku naib juara menerima RM1,500, piala dan pingat.

Sabang United dan Anakin FT pula menamatkan kejohanan di tempat ketiga bersama, dengan masing-masing menerima RM500 selain piala dan pingat.

Kejohanan anjuran Segak FC itu turut menawarkan tiga anugerah individu, masing-masing bagi kategori Penjaring Terbanyak, Penjaga Gol Terbaik dan Pemain Terbaik, dengan setiap pemenang menerima hadiah wang tunai serta plak.

Presiden Segak FC, Gonzales Egoh Micheal Wong, berkata, penganjuran kejohanan berkenaan bukan sekadar medan persaingan, sebaliknya memberi ruang kepada pemain untuk menunjukkan bakat serta kemampuan dalam sukan futsal.

“Penganjuran kejohanan ini bukan sahaja memberi ruang kepada pemain untuk menunjukkan bakat dan kemampuan dalam sukan futsal, malah menjadi medan untuk membina semangat kesukanan, disiplin, kerjasama berpasukan dan perpaduan tanpa mengira latar belakang,” katanya kepada Suara Sarawak hari ini.

Menurut Gonzales, Segak FC berharap Piala Perpaduan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai salah satu platform sukan yang mampu menyatukan masyarakat serta memperkembangkan pembangunan futsal di Bau dan kawasan sekitarnya.

“Kita berharap kejohanan ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan dan menjadi platform yang lebih besar untuk pembangunan futsal serta mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat.

“Tahniah kepada semua pemenang dan syabas kepada seluruh pasukan yang telah memberikan saingan terbaik,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pasukan yang mengambil bahagian, pemain, pegawai, pengadil, sukarelawan, penaja, penyokong serta pihak yang memberikan sokongan secara langsung dan tidak langsung bagi menjayakan kejohanan tersebut.

“Terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan komitmen dan sokongan sepanjang kejohanan ini berlangsung. Kejayaan penganjurannya adalah hasil kerjasama semua pihak,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU