KUCHING: Hanya dalam tempoh sembilan hari, Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) merekodkan 22 siri kejayaan menerusi pelbagai operasi dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM163.83 juta.
Komander Briged Sarawak PGA, SAC Datuk Lim Bak Phai berkata, kejayaan sepanjang 1 hingga 9 September itu turut membawa kepada 35 tangkapan membabitkan warga tempatan dan warga asing.
Katanya, operasi berkenaan menyasarkan pelbagai kegiatan yang menyalahi undang-undang.
“Ia termasuk penyimpanan dan penjualan rokok serta minuman keras yang belum diluluskan cukai Kastam, penyimpanan dan pengedaran produk sejuk beku tanpa permit, penyelewengan diesel, perlombongan mineral tanpa lesen, pemprosesan kayu tanpa permit serta kesalahan imigresen,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah, nilai rampasan terbesar direkodkan menerusi Op Bersepadu Khazanah di Bau yang membabitkan aktiviti perlombongan bahan galian mineral tanpa lesen, dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM120.84 juta.
Operasi itu katanya membawa kepada penahanan dua lelaki warga tempatan, selain rampasan batu pelbagai jenis, diesel, tangki IBC, jentera berat dan pelbagai peralatan berkaitan.
“Op Taring Chiller merekodkan empat siri kejayaan di Bintulu, Kuching dan Lawas, membabitkan rampasan lebih 692 tan produk sejuk beku yang disimpan dan diedarkan tanpa permit sah selain kenderaan, forklift serta peralatan berkaitan.
“Keseluruhan rampasan menerusi operasi itu dianggarkan bernilai RM27.14 juta,” katanya lagi.
Bagi Op Taring Libas, beliau memaklumkan, sebanyak dua siri kejayaan direkodkan di Kuching dan Bintulu membabitkan kegiatan pemprosesan serta pengumpulan kayu tanpa permit sah.
Operasi itu katanya membawa kepada rampasan kayu, kenderaan, jentera berat serta pelbagai peralatan dan mesin pemprosesan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM11.40 juta.
“Dalam pada itu, Op Taring Alpha mencatatkan 11 siri kejayaan di Miri, Julau, Kota Samarahan, Bintulu, Kuching dan Kapit, membabitkan aktiviti penyimpanan serta penjualan rokok dan minuman keras yang belum diluluskan cukai Kastam.
“Sebanyak 6,980 karton rokok dan lebih 17,000 liter minuman keras dirampas, selain beberapa kenderaan, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM3.41 juta.
“Bagi membanteras kegiatan penyelewengan diesel, Op Taring Batas/Awas merekodkan dua siri kejayaan di Serian dengan nilai rampasan keseluruhan RM304,298, membabitkan diesel, kenderaan, tangki penyimpanan dan peralatan berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, Op Taring Bravo di Kuching membawa kepada rampasan 16,000 liter diesel, sebuah tangki SKID, tiga jentera berat serta sebuah mesin pam minyak dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM740,420.
Selain itu katanya, menerusi Op Taring Delta, seramai 11 lelaki warga asing berusia antara 20 hingga 41 tahun ditahan di sebuah tapak kuari di Bau kerana disyaki memasuki Malaysia melalui laluan tidak diwartakan tanpa memiliki dokumen perjalanan atau permit yang sah.
“Kesemua mereka dipercayai bekerja sebagai buruh kasar di lokasi berkenaan.
“Kesemua tangkapan dan barang rampasan telah diserahkan kepada jabatan serta agensi berkaitan untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.






