KUALA LUMPUR: Legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei merancang mengembangkan Piala Lee Chong Wei ke peringkat antarabangsa tahun depan.
Bekas pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia itu berkata beliau menyasarkan kelulusan Badminton Asia untuk penganjuran antarabangsa, selain meneruskan edisi tempatan.
Beliau berkata dua kejohanan dirancang tahun depan, masing-masing pada peringkat tempatan dan antarabangsa, dengan pihaknya kini mencari slot masa serta memohon kelulusan Badminton Asia.
Lee Chong Wei berkata tarikh kejohanan perlu ditetapkan dengan teliti bagi mengelakkan pertembungan dengan kejohanan remaja lain di Indonesia atau negara lain.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM berkata jurulatih kebangsaan memantau rapat kejohanan itu bagi mengenal pasti bakat berpotensi untuk ujian pemilihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada akhir tahun ini.
Katanya, pemilihan tidak hanya melibatkan pemain yang mara ke final atau separuh akhir kerana pemain yang tersingkir di suku akhir atau lebih awal turut boleh dipanggil jika menunjukkan bakat dan potensi untuk dinilai dalam sesi latihan di BAM.
Lee Chong Wei, 43, berpuas hati dengan sambutan terhadap kejohanan sembilan hari itu yang disertai lebih 2,200 pemain remaja dari seluruh negara dalam kategori bawah 13, bawah 15 dan bawah 17 tahun, manakala edisi sulung yang berlangsung dari 29 Ogos hingga 6 Sept itu menawarkan hadiah terkumpul RM104,000 seperti dilapor Bernama.






