ASAJAYA: Kelab Bola Sepak Sambir Bistari (KBSB) cuba menampilkan kelainan dalam penganjuran Kejohanan Bola Sepak Piala Perpaduan ADUN Asajaya, Datuk Seri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah Edisi Ke-58 2026.
Kejohanan tertua di Sarawak yang kebiasaan bermula pada hari ketiga setiap kali lebaran (Hari Raya Aidilfitri) bakal menyaksikan pertambahan hadiah wang tunai untuk tiga kelompok pasukan terbaik iaitu juara, naib juara dan ketiga bersama.
Presiden KBSB, Penghulu Jalek Jaafar memberitahu perkara itu ketika ditemui Arena Suara Sarawak sebentar tadi.
“Sedikit kelainan cuba ditampilkan untuk penganjuran edisi ke-58 apabila kita akan menambah jumlah hadiah wang tunai untuk tiga kelompok pasukan terbaik itu,” ujar Jalek.
Sambil menyatakan pasukan yang berjaya muncul juara musim ini akan menerima wang tunai RM7,000. Manakala, naib juara pula akan menerima wang tunai RM5,000.
Dua pasukan yang tewas di peringkat separuh akhir akan menerima wang tunai RM3,000
Dalam pada itu, Jalek menyatakan, pihaknya turut menyediakan wang tunai RM500 untuk empat pasukan yang terkandas di peringkat suku akhir.
Untuk rekod hadiah wang tunai bagi tiga pasukan terbaik edisi lepas ialah RM5,000 untuk sang juara dan RM3,000 untuk naib juara.
Berbanding RM1,500 untuk pasukan yang tewas di peringkat separuh akhir selaku pemenang tempat ketiga bersama.
Jalek turut menyatakan sasaran penyertaan edisi kali ini sebanyak 50 pasukan sahaja.
Pengurus pasukan yang ingin mendaftar awal boleh menghubungi Erwan Busenak di talian 019-9772093 dan Khaimi Dan di talian 010-7781934.
Yuran pendaftaran untuk setiap pasukan ialah RM400.
Kejohanan terbabit berada di kelas tersendiri setiap tahun penganjurannya. Ia berikutan adanya penampilan ramai pemain berbakat, berpengalaman sama ada yang pernah menyarung jersi pasukan Sarawak, Kuching City FC mahu pun bekas pemain skuad kebangsaan.



