SAYA tertarik mendalami kisah seseorang.
Dia agak rapat dengan saya baru-baru ini.
Boleh dikatakan setiap hari kami berjumpa dan kebetulan saya selalu menumpang kenderaannya, kerana kami melalui jalan yang sama.
Dikenali sebagai Ayuni, berusia kira-kira awal 20-an.
Sifatnya agak keanak-anakan — setiap kali saya bawa dia ke tempat baharu baginya, Ayuni menunjukkan gerak badan gembira dan senyuman yang mencuit hati.
Menyelami kisah hidup Ayuni, dia merupakan anak yatim selepas kehilangan arwah ibu pada usia 17 tahun.
Saya terdiam seketika, manakan tidak insan yang saya anggap kebudak-budakan dan lemah rupanya kuat.
Ayuni sangat rapat dengan arwah ibunya, malah ketika berada di Tingkatan 4 dan Tingkatan 5, dia banyak menghabiskan masa menjaga ibunya dan tidak bersekolah.
Jika dipaksa ke sekolah, dia ponteng dan pergi ke rumah rakannya.
Katanya, pengetua sekolah sering ke rumah memujuknya untuk bersekolah.
Namun, apabila berada di sekolah dia tidak dapat menumpukan perhatian kerana memikirkan soal ibunya.
Rutin harian sebelum arwah ibu sakit berubah sepenuhnya.
Sebelum sakit, ibunya selalu memasak makanan kegemarannya sebelum menghantarnya ke sekolah.
Pada sebelah petang, dia ke kelas tuisyen dan mengaji al-Quran pada malam.
Hampir setiap masa urusannya dikendalikan bersama-sama ibu.
Ayahnya kerja jauh — hanya dua atau tiga bulan sekali balik ke rumah.
BERDIKARI
Selepas ibunya meninggal dunia, ayahnya mendapat pekerjaan berhampiran rumah, namun tidak dapat menggantikan ibunya.
Rumah dahulunya sentiasa terurus, makan, minum pakaian kini diganti tugas oleh neneknya yang tidak tinggal serumah dengan mereka.
Neneknya sering menjenguk untuk menghantar makanan dan mengemas rumah.
Sejak ibunya sakit, Ayuni melakukan semuanya sendiri, mencuci pakaian, memasak dan mengemas bilik.
Pandangan saya terhadap Ayuni meleset, di sebalik tingkah laku keanak-anakan, dia merupakan individu yang sangat kuat.
“Kalau awak berada di tempat saya mungkin akan lakukan perkara sama.
“Hidup kita sentiasa ada pilihan dan saya pilih untuk jadi kuat,” kata Ayuni.
Saya terdiam seketika, berfi kir sejenak kata-kata Ayuni.
Menjadi kuat sentiasa menjadi pilihan kita meneruskan kehidupan.
Hidup ini tidak selamanya senang, ada kalanya kita sedih, kecewa, marah dan hampa.
Kita perlu bijak mengawal emosi, berfi kiran positif sekali gus menjadi individu yang kuat menghadapi cabaran.
Teruskan melangkah di dunia nyata, masa lalu perlu dilepaskan demi meneruskan kehidupan yang tersisa.
Jika terlalu memikirkan perkara lalu, secara tidak langsung ia menghantar isyarat ke otak atau fi kiran yang membuat kita hilang fokus kerana terikat dengan masa lalu.
Perkara terbaik dilakukan ialah menghargai apa-apa yang ada dan bersyukur.
Ia bukan sekadar diungkap dengan kata-kata, tetapi dari segi perbuatan.
Begitu juga dengan masa depan, usah risau kerana Rome tidak dibina dalam masa satu hari.
Begitu juga kita dalam memikirkan masa depan, perancangan serta pelaksanaannya kerana ia bergantung kepada usaha dan proses.
TIGA HARI KEHIDUPAN
Beranikan diri keluar dari zon selesa untuk jadikan hidup anda lebih menarik.
Cepat atau lambat, sentiasa berusaha melakukan yang terbaik dalam hidup kerana kehidupan kita hanya ada tiga hari.
Hari semalam yang semestinya kita tidak dapat ulang walaupun sesaat.
Hari esok — macam mana kita rasa tunggu pun belum tentu kita dapat.
Hari ini untuk kita betulkan hari semalam dan bawa bekalan untuk hari esok.