IPOH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa melawat Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun, yang baru selesai menjalani pembedahan baru-baru ini.
Perdana Menteri yang mengadakan lawatan kerja ke Perak hari ini melawat Mohd Zolkafly di kediaman Exco berkenaan di Ipoh, selepas menyempurnakan perasmian pecah tanah projek pembangunan Ipoh Sentral petang semalam.Kehadiran Anwar disambut mesra ahli keluarga serta beberapa kenalan rapat Mohd Zolkafly.
“Sambil bertanya khabar mengenai keadaan kesihatan beliau, kami turut bertukar pandangan mengenai pelbagai isu semasa yang melibatkan rakyat dan pembangunan negeri,” menurut Anwar dalam hantaran Facebook.
Beliau turut mendoakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang itu diberikan kesembuhan.
Terdahulu, dalam lawatan kerja itu, Anwar turut merasmikan Karnival Tenusu MADANI di Kompleks Tenusu Farm Fresh Perak di Larut serta meninjau projek pembinaan jalan baharu dari Kamunting ke Anak Kurau, Larut Matang Selama (LMS) Fasa Dua di bawah Program Jalan Luar Bandar (JALB) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.— BERNAMA



