MUKAH: Seorang anggota polis bantuan menerima 12 jahitan di bahagian leher selepas dilibas dengan parang oleh seorang pekerja warga asing dalam kejadian di kawasan rumah pekerja ladang sawit di Jalan Sebakong, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira 4.40 petang itu, mangsa, 45, mengalami kecederaan selepas cuba menenteramkan keadaan susulan laporan seorang pekerja yang bertindak membuat bising di kawasan penempatan pekerja.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada 6 petang.
“Sebelum kejadian, mangsa bergegas ke lokasi selepas dimaklumkan oleh rakan setugas mengenai seorang pekerja ladang yang membuat bising.
“Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa melihat seorang pekerja ladang membuat bising sambil memegang sebilah parang.
“Semasa mangsa cuba menenteramkan keadaan, suspek secara tiba-tiba bertindak melibas parang ke arah mangsa sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian leher,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Suspek kemudiannya berjaya ditahan dengan bantuan beberapa pekerja lain yang berada di lokasi kejadian.
Jelas Rizal, suspek turut mengalami kecederaan akibat berlaku pergelutan semasa cubaan menahannya berikutan tindakannya yang agresif.
Kedua-dua mangsa dan suspek dibawa ke Hospital Mukah untuk menerima rawatan.
“Sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah kemudian membuat tangkapan semula ke atas suspek bagi membantu siasatan lanjut.
“Polis turut merampas sebilah parang sepanjang 53 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek mengamuk dipercayai akibat pengaruh alkohol selain mempunyai perselisihan faham dengan pihak pengurusan syarikat tempatnya bekerja,” jelasnya.
Tambahnya, suspek, 39, kini ditahan di lokap Balai Polis Mukah sementara menunggu proses pendakwaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.
Selain itu, satu kertas siasatan turut dibuka di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 selepas suspek didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.



