ARTIKEL

SIASAT… Siasatan kini sedang dijalankan bagi mengenalpasti suspek yang terlibat.

Polis buru dua suspek samun di Taman Merlin

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Ketenangan pagi di sebuah kediaman di Taman Merlin, Jalan Sin Hin, di sini bertukar detik mencemaskan apabila sepasang warga emas menjadi mangsa kejadian samun berkumpulan di rumah mereka kira-kira jam 11.15 pagi tadi.

Kejadian dipercayai berlaku ketika pasangan suami isteri itu berada di dalam rumah sebelum menyedari pintu utama yang tidak berkunci dibuka secara tiba-tiba oleh individu tidak dikenali.

Tidak lama kemudian, dua lelaki berpakaian serba hitam lengkap dengan sarung tangan serta penutup muka bertindak menceroboh masuk ke dalam kediaman berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, DSP Barry William berkata, salah seorang suspek dilaporkan membawa tukul dan bertindak agresif terhadap mangsa lelaki, selain berlaku pergelutan kecil yang turut menyebabkan isteri mangsa ditolak.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan tanpa senjata api,” katanya dalam kenyataan.

Barry menambah, mangsa, seorang lelaki berusia 88 tahun tampil membuat laporan polis pada jam 1.34 petang hari yang sama.

Dalam kejadian tersebut katanya, suspek dipercayai melarikan beberapa barangan berharga termasuk wang tunai RM5,000, AS$500, sebuah jam tangan jenama Casio, telefon bimbit ZTE serta barangan kemas.

“Barangan kemas yang dilaporkan hilang melibatkan cincin, rantai leher dan loket, dengan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan kira-kira RM14,000.

“Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan tiada sebarang barang rampasan ditemui.

“Siasatan awal juga mendapati kediaman mangsa tidak dilengkapi sistem kamera litar tertutup (CCTV), sekali gus menyukarkan proses pengesanan suspek,” ujarnya.

Polis katanya telah mengambil keterangan mangsa serta mendapatkan bantuan Unit Forensik dan teknikal dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak bagi membantu siasatan lanjut.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Watson Junga di talian 013-338 8282.

BERITA LAIN

ICQS Biawak: Kajian siap hujung tahun ini

KUCHING: Cadangan menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Biawak masih dalam penelitian menerusi kajian kemungkinan Pelan Induk Pembangunan Kawasan Sempadan Sarawak. Menteri

BERITA TERBARU

Jalai Balingian–Sungai Anak patut diadu manah

KUCHING: Pengawa ngintu, ngadu sereta nangkir Jalai Perintah Besai Balingian–Sungai Anak ti nyambung rentayan Jalai Besai Pan Borneo begunaka perati dikena nambahka pengelikun enggau pejalai