BINTANGOR: Pihak polis memandang serius kegiatan lumba haram yang dikesan semakin aktif di kawasan ini, khususnya melibatkan golongan belia.
Setakat ini, sebanyak 33 saman dikeluarkan dan lapan motosikal disita atas pelbagai kesalahan termasuk pengubahsuaian ekzos, tiada lesen memandu atau lesen tamat tempoh, tiada cermin sisi, serta nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.
Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superintendan Tansli Mering berkata, hasil pemantauan mendapati kegiatan lumba haram sering berlaku di kawasan Batu 8, Jalan KJD (Pan Borneo Highway).
Menurutnya, kebanyakan mereka yang terlibat merupakan golongan belia berusia antara 17 hingga 25 tahun.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti lumba haram dan akan terus menjalankan operasi bersepadu bagi mengekang kegiatan ini,” tegas beliau.
Dalam pada itu, Tansli memaklumkan sebanyak 156 kes kemalangan jalan raya direkodkan di daerah ini bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.
Daripada jumlah itu, 125 kes merupakan kemalangan rosak, 17 kes kemalangan ringan, tujuh kes parah dan tujuh kes maut dengan sembilan kematian direkodkan.



