KUALA LUMPUR: Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata Aliesha Hanni Abdullah, 17, kali terakhir dilihat di rumahnya di Apartment Laguna Biru 1, Taman Tasik Biru, Kundang, Rawang, Selangor kira-kira 10 pagi.
“Remaja itu berketinggian 155 sentimeter dan berat 57 kilogram serta berambut lurus paras bahu. Kali terakhir, dia dilihat memakai kemeja-T lengan panjang berwarna gelap, seluar jean biru gelap dan kasut berwarna putih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata bapa Aliesha Hanni membuat laporan kehilangan remaja itu pada 11.22 pagi semalam.
Orang ramai yang menjumpai atau mempunyai maklumat mengenai keberadaan remaja berkenaan dimohon menghubungi Sarjan Muhamad Rais Azmi melalui talian 016-9495707 atau balai polis berdekatan.–BERNAMA



