MIRI: Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun merupakan salah seorang daripada tiga individu yang cedera ringan selepas motosikal yang dinaiki mereka dihimpit dan dilanggar sebuah Toyota Hilux di Jalan Dato’ Sri Joseph Balan Seling, berhampiran lampu isyarat Permyjaya, di sini, pada malam Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira 10.50 malam itu membabitkan sebuah motosikal yang ditunggangi lelaki tempatan berusia 19 tahun bersama dua pembonceng masing-masing berusia tujuh dan 17 tahun.
Beliau berkata, motosikal berkenaan dalam perjalanan dari arah Jambatan Pujut 7 menuju ke Permyjaya sebelum kejadian berlaku berhampiran lampu isyarat di Jalan Dato’ Sri Joseph Balan Seling.
“Motosikal itu dihimpit dan dilanggar pada bahagian sisi kanan oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux ketika tiba di lokasi kejadian.
“Akibat kemalangan itu, ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Hospital Miri,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan yang turut tular di media sosial.
Kes itu, katanya, disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Nor Afifah Nordin, menerusi talian 019-5264640 atau 085-430479.
“Maklumat juga boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran.
“Dalam pada itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa memandu secara berhemah dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kemalangan serta menjaga keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya lagi.



