Polis rampas mesin perlombongan bitcoin RM1.6 juta

NILAI: Polis menumpaskan sindiket mencuri bekalan elektrik bagi menjalankan kegiatan perlombongan bitcoin, menerusi serbuan di sembilan premis di sekitar kawasan Nilai, semalam, membabitkan nilai rampasan RM1.6 juta.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman, berkata operasi bersepadu dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan itu, menyerbu ke empat premis di Bandar Enstek dan lima di Bandar Baru Nilai dengan merampas 581 unit mesin perlombongan bitcoin.

Berikutan itu, TNB turut mengalami kerugian sebanyak RM2.1 juta akibat aktiviti haram yang dijalankan hampir setahun.

“Operasi dijalankan pada jam 1 tengah hari itu sehingga 5 petang dan polis menahan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warganegara China berusia dalam lingkungan 30 tahun.

“Hasil soal siasat terhadap suspek, mereka mengaku sebagai juru teknik dalam satu premis yang diserbu itu. Ketika serbuan, mereka sedang memeriksa dan membuat penyelenggaraan ke atas mesin perlombongan bitcoin,” katanya kepada pemberita pada sidang media, di sini.

Beliau berkata, modus operandi sindiket ini menggunakan premis tingkat atas sebagai kegiatan perlombongan bitcoin bagi mengelakkan disedari pihak berkuasa.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, 427 Kanun Keseksaan, dan Seksyen di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990.

Suara Sarawak