SARIKEI: Seramai 127 individu diberkas polis kerana disyaki terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah sepanjang tempoh Februari hingga Mac tahun ini.
Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintendan Aswandy Anis, berkata kesemua tangkapan dilakukan menerusi beberapa operasi di sekitar daerah Sarikei termasuk kawasan Tanjung Manis, Belawai, Paloh dan Kedang.
Menurut beliau, semua suspek ditahan atas kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Dalam tempoh dua bulan tersebut, pihak polis telah merampas sejumlah 21.24 gram dadah jenis syabu serta 0.61 gram ketamin,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, seramai enam individu yang dikenal pasti sebagai penagih tegar telah dijatuhi hukuman di bawah Seksyen 39C(1) dan 39C(2) Akta sama, melibatkan penjara antara lima hingga tujuh tahun serta satu hingga tiga sebatan.
Mengulas perkembangan terbaharu, Aswandy berkata tiga lelaki turut ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah pada pukul 11 pagi, 31 Mac lalu.
“Hasil pemeriksaan lanjut di lokasi berkenaan menemukan 15 paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal dipercayai syabu atau methamphetamine dengan anggaran berat kasar 6.20 gram,” ujarnya.
Beliau berkata dadah tersebut dipercayai bertujuan untuk diedarkan kepada penagih di kawasan sekitar.
Kesemua suspek telah dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Sarikei untuk tindakan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jelasnya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi lima tahun, selain dikenakan hukuman sebatan antara tiga hingga sembilan kali.



