KANOWIT: Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian melepaskan tembakan ke arah seorang lelaki di simpang Jalan Majau-Kanowit-Song, malam Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kanowit, DSP Junical Ujal berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 8.30 malam, 24 Ogos, sebelum suspek melarikan diri dengan sebuah kenderaan dipercayai jenis Toyota.
“Dalam insiden tersebut, tiada kecederaan dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan lanjut membawa kepada penemuan sebuah rangka kereta yang dibakar di Jalan Penyulau, dipercayai kenderaan yang digunakan suspek untuk melarikan diri.
“Bertindak atas maklumat yang diperoleh, polis berjaya menahan dua lelaki, salah seorang daripadanya merupakan pemilik kenderaan berkenaan, manakala seorang lagi dipercayai terlibat dalam kes ini. Kedua-dua tangkapan dibuat di lokasi berasingan,” jelasnya.
Junical menegaskan pihak polis memandang serius kejadian itu dan memberi amaran kepada orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai.



