KOTA SAMARAHAN: Seramai 56 individu dan 50 kenderaan diperiksa dalam Op Bersepadu Cegah Jenayah yang dilaksanakan di beberapa kawasan tumpuan dan hotspot sekitar daerah ini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintendan Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, operasi berkenaan dilaksanakan dari jam 10 malam hingga 2 pagi bagi meningkatkan kehadiran polis serta mencegah kegiatan jenayah, khususnya di lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan itu, polis menahan dua lelaki tempatan masing-masing kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, dalam tangkapan berkaitan dadah, polis turut merampas satu paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki syabu seberat kira-kira 0.55 gram.
“Selain itu, sebanyak enam keping saman PDRM (K) 257 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas sepanjang operasi,” katanya.
Mohd Irwan Hafiz menambah, operasi bersepadu seperti itu akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa sebagai langkah pencegahan dan pengesanan awal terhadap sebarang aktiviti menyalahi undang-undang.
Menurutnya, rondaan serta operasi berfokus akan ditingkatkan di kawasan hotspot bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.



