ARTIKEL

TAHAN… Pasangan yang aktif pecah rumah kebun diberkas, malam Selasa lepas.

Polis tumpas kegiatan pecah rumah kebun di Bau

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kegiatan pecah rumah kebun yang dipercayai aktif sejak pertengahan April lalu akhirnya terbongkar apabila polis menahan pasangan yang menganggur dalam satu operasi khas di Sungai Tengah, Jalan Matang, malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahman berkata, dalam serbuan kira-kira jam 9.10 malam itu, seorang lelaki berusia 23 tahun dan seorang wanita berusia 19 tahun ditahan di sebuah rumah di Kolong 1 selepas pasukan polis memperkenalkan diri dan menunjukkan kad kuasa.

“Tangkapan tersebut bukan sahaja berjaya menyelesaikan satu kes semasa, malah membantu membuka semula beberapa laporan terdahulu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Haide, hasil soal siasat awal mendapati pasangan berkenaan dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya empat kejadian pecah rumah kebun di sekitar Kampung Tanjong Poting, Singai, Sungai Kuang dan Kampung Apar antara 16 hingga 23 April lalu.

Katanya, modus operandi suspek lelaki adalah dengan menceroboh masuk ke rumah kebun melalui pintu atau tingkap yang diumpil sebelum melarikan pelbagai barangan termasuk tangga aluminium, kepingan atap zink, tong gas, televisyen serta peralatan seperti gergaji berantai dan mesin rumput.

“Dalam beberapa kejadian, suspek turut membakar kabel elektrik bagi mendapatkan tembaga sebelum menjualnya kepada pusat kitar semula.

“Barangan curi itu kemudiannya dijual di kedai barangan terpakai di sekitar Moyan dan MJC pada harga serendah RM50 hingga RM280, jauh lebih rendah daripada nilai sebenar.

“Hasil siasatan juga mendapati wang hasil jualan tersebut digunakan untuk perbelanjaan harian termasuk membeli makanan, mengisi minyak kenderaan, berjudi dalam talian serta membeli dadah jenis syabu,” katanya.

Pada masa sama, kata Mohd Haide, polis turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah berkenaan.

Kes itu, katanya, kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan curi, manakala kedua-dua suspek akan direman bagi membantu siasatan lanjut, termasuk menjalani saringan air kencing.

“Polis tidak menolak kemungkinan suspek turut terlibat dalam kes lain dan siasatan masih diteruskan,” jelasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Khir Rahman kembali ke pentas teater Istana Budaya

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah tersohor, Khir Rahman kembali beraksi di pentas teater selepas hampir sedekad menerusi pementasan Teater Muzikal Kanak-Kanak Pengembaraan Sang Kancil di