Dr Chamil Wariya
PUSAT Persembahan Seni Petaling Jaya atau lebih dikenali dengan akronim PJPAC (Petaling Jaya Performing Arts Centre) yang terletak di pusat beli-belah OneUtama adalah panggung untuk para penggiat dan anak-anak seni menghidangkan kegiatan seni masing-masing kepada khalayak.
Tetapi Ahad lalu, yang membuat persembahan di situ bukan orang seni. Sebaliknya pentas panggung diambil alih oleh dua pemimpin politik popular – Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.
PJPAC yang boleh memuatkan 628 orang pada satu-satu masa menjadi sesak. Sehingga ada yang terpaksa duduk di ruang kosong di bawah dan di atas pentas. Dianggarkan 2,000 orang hadir tetapi tidak semua dapat masuk ke dalam dewan.
Mereka yang hadir bersorak gembira apabila mendengar pengumuman Rafizi dan Nik Nazmi mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa yang disandang, bertindak keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan mengambil alih Parti Bersama Malaysia (Bersama) sebagai wadah perjuangan politik.
“Ini benar-benar politik kamikaze, tetapi berbaloi untuk meneruskan perjuangan berprinsip,” kata seorang penyokong kedua-dua pemimpin yang berdiri di sebelah saya.
“Saya angkat topi sebagai beri tabik hormat kepada mereka,” katanya lagi. Kamikaze ialah istilah dalam bahasa Jepun. Dalam konteks kontemporari, ia bermaksud berani mati.
Pada asalnya, istilah tersebut digunakan untuk merujuk kepada “taufan suci” kiriman Tuhan yang menyelamatkan negara matahari terbit ini daripada serangan armada tentera Mongolia pada abad ke-13.
Taufan tersebut memusnahkan keupayaan Mongolia untuk menakluki Jepun melalui laut. Justeru, taufan itu diberi nama kamikaze – kami bermaksud Tuhan, kaze pula taufan.
Bagaimanapun, semasa Perang Dunia Kedua, kamikaze diberi definisi baharu, bukan oleh Jepun, tetapi Amerika Syarikat. Istilah tersebut digunakan untuk merujuk kepada juruterbang berani mati Jepun yang menerbangkan pesawat pejuang masing-masing dan menghempaskannya ke atas kapal perang Amerika Syarikat di Pearl Habour.
Penggunaan istilah tersebut kemudian diperluaskan untuk meliputi bidang bukan ketenteraan dan pertahanan.
Ia juga diguna pakai dalam bidang politik untuk merujuk kepada strategi atau tindakan berisiko tinggi yang diakukan oleh ahli politik iaitu mereka sanggup mempertaruhkan kerjaya, kedudukan atau survival diri demi mencapai objektif yang dihajati.
Justeru, apabila Rafizi dan Nik Nazmi mengosongkan kerusi parlimen masing-masing dan mengambil alih Bersama sebagai wadah baharu perjuangan politik mereka, tindakan mereka menurut para penyokong mereka layak dikategorikan sebagai satu langkah berani mati atau kamikaze.
Malah dalam ucapannya yang memukau khalayak, Rafizi sendiri menggunakan kamikaze untuk melakarkan tindakan yang mereka ambil untuk meneruskan kelangsungan politik mereka.
Bagi beliau, keputusan mengosongkan kerusi parlimen dan keluar PKR bermakna mereka berdua sebenarnya memperjudikan masa depan politik masing-masing, sama ada timbul atau tenggelam dalam arus perdana politik negara.
Melawan parti-parti politik yang sudah bertapak yang bergabung dalam Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) tentulah bukan mudah, malah hampir mustahil menewaskan mereka.
Terbukti setelah seminggu pengumuman kamikaze dilakukan, riuh-rendah mengenainya masih belum reda. Para pengulas dan orang politik yang berminat, masih memperkatakannya.
Ruang-ruang media – komersial dan sosial masih lagi dipenuhi laporan, ulasan, komentar dan pandangan pro dan kontra tindakan dua ahli parlimen itu.
Ada yang menganggap keputusan mereka melepaskan kedudukan ahli parlimen sebagai bodoh dan tidak menjamin masa depan mereka yang cerah.
Yang lain pula menganggap tindakan mereka sebagai berprinsip kerana setelah PKR sendiri tidak menghargai sumbangan mereka dalam membina kekuatan PKR sehingga berjaya membentuk kerajaan, jalan yang ada untuk mereka meneruskan perjuangan adalah dengan menubuhkan parti politik sendiri.
Tidak dinafikan pada suatu waktu, mereka dianggap bintang bersinar yang sedang digilap bagi dipersiapkan sebagai barisan pelapis kepimpinan PKR untuk meneruskan agenda reformasi yang dijanjikan.
Selama 30 tahun, mereka mengabdikan diri terhadap perjuangan pelbagai program pembaharuan parti yang membolehkan mereka menjadi menteri dan menjawat kedudukan tinggi dalam parti.
Ada janji pembaharuan yang sudah dilaksanakan, tapi masih banyak yang belum. Rafizi sehingga tahun lalu merupakan Timbalan Presiden PKR – hanya satu takah lagi untuk menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai presiden parti dan mungkin juga Perdana Menteri.
Nik Nazmi pula ialah salah seorang daripada tiga naib presiden parti. Bagaimanapun, kegagalan mereka mempertahankan kedudukan masing-masing dalam pemilihan PKR pada pertengahan 2025 mengubah nasib politik mereka. Panas politik mereka tidak sampai ke petang.
Sekalipun kalah dalam pemilihan parti, Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, meminta mereka kekal dalam Kabinet. Namun ajak-ajak ayam Anwar tidak disambut.
Mereka nekad meletakkan jawatan menteri bergaji RM18,000 sebulan (tidak termasuk pelbagai elaun lain) kerana mendapati Anwar tidak serius untuk melaksanakan reformasi yang dijanjikan.
Yang benar-benar mengecewakan Rafizi, dalam pertandingan timbalan presiden itu, Anwar bersikap talam dua muka.
Sewaktu berkempen secara terbuka, Anwar meminta Rafizi dikekalkan sebagai timbalan presiden tanpa bertanding, tetapi di belakang tabir, beliau meminta para penyokong tegarnya memastikan Nurul Izzah diangkat pada kedudukan nombor dua dalam PKR.
Iaitu Ahli Parlimen Sungai Buloh yang mewaskan Khairy Jamaluddin dalam pilihan raya umum pada November 2022, direstui bertanding jawatan naib presiden untuk menewaskan Nik Nazmi.
Selepas menang, Ramanan dilantik sebagai menteri menggantikan tempat yang dikosongkan oleh Nik Nazmi.
Selama setahun setelah kalah dalam pemilihan parti, mereka kekal dalam PKR untuk menjadi pengkritik paling lantang terhadap pimpinan Anwar yang didakwa gagal melaksanakan reformasi institusi yang dijanjikan.
Malah kerana terlalu lantang membelasah kepura-puraan reformasi Anwar, dua kali Rafizi diberi tunjuk sebab mengapa tindakan disiplin, termasuk pemecatan daripada PKR tidak boleh diambil terhadap beliau.
Pada suatu waktu, Rafizi dan Nik Nazmi seperti mahu terus kekal dalam PKR dan terus mengkritik Anwar dari dalam serta mengekalkan kedudukan ahli parlimen yang dimenangi sebagai calon PKR serta menikmati pelbagai habuan kewangan dan bukan kewangan yang ada pada kedudukan itu.
Sebagai ahli parlimen, pendapatan bulanan boleh mencecah sehingga RM40,000 sebulan. Kuantum itu meliputi gaji pokok RM16,500, elaun tetap RM9,700 serta elaun kehadiran dan tuntutan-tuntutan lain perbelanjaan setiap bulan. Kemewahan sebagai ahli parlimen sanggup mereka korbankan.
Mulai Isnin lalu, Rafizi dan Nik Nazmi tidak lagi bergelar Yang Berhormat. Para pemerhati politik berpendapat, sama ada tawaran Rafizi dan Nik Nazmi untuk menjadikan Bersama sebagai tenaga politik yang berupaya menjadi Kerajaan Persekutuan atau sebaliknya, hanya masa yang menentukan. Dari segi jangka pendek, kehadiran Bersama mungkin memberi kesan terhadap kekuatan PKR khususnya dan Pakatan Harapan umumnya.
Dari segi jangka panjang, sama ada politik kamikaze Rafizi dan Bersama timbul atau tenggelam akan ditentukan oleh kejayaannya memikat pengundi generasi baharu yang didakwa sudah muak dengan gelagat parti-parti politik sedia ada.
PRU ke-16 yang bakal diadakan paling lewat pada awal 2028 akan menjadi petunjuk sebenar terhadap prestasi Bersama.
- Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ahli Majlis Media Malaysia.



