SELANGOR: Permulaan positif buat pasukan polo air wanita Sarawak apabila berjaya menewaskan Pulau Pinang 18-11 pada perlawanan di Pusat Akuatik Darul Ehsan sebentar tadi.
Sarawak yang diundi dalam Kumpulan X mempamerkan aksi konsisten sepanjang perlawanan apabila mendahului Pulau Pinang dalam tiga daripada empat suku permainan.
Pada suku pertama, Sarawak mendahului 3-2 sebelum memperkemaskan permainan pada suku kedua dengan menambah lima jaringan berbanding dua jaringan Pulau Pinang untuk kedudukan 8-4.
Pulau Pinang cuba bangkit pada suku ketiga dengan mencatat tiga jaringan, namun Sarawak kekal di hadapan selepas menambah empat jaringan untuk kedudukan 12-7 sebelum terus meningkatkan tekanan pada suku terakhir dengan menambah enam jaringan berbanding empat jaringan Pulau Pinang untuk melengkapkan kemenangan 18-11.
Kemenangan itu memberi suntikan semangat kepada pasukan polo air wanita Sarawak untuk meneruskan cabaran pada peringkat seterusnya dalam usaha memburu pencapaian terbaik pada temasya kali ini, yang secara rasmi berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026, dengan beberapa acara pertandingan bermula lebih awal mengikut jadual masing-masing.






