ARTIKEL

Ponggal masyarakat India rai keberkatan, kesyukuran

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Selain Deepavali, perayaan Ponggal juga merupakan salah satu perayaan penting masyarakat India terutamanya bagi kaum Tamil yang disambut dengan penuh kegembiraan dan rasa syukur.

Bagi masyarakat Tamil di Malaysia, Ponggal bukan sekadar perayaan, namun ia tradisi yang mencerminkan nilai kesyukuran, perpaduan dan hubungan manusia dengan alam.

Bagi mereka yang pertama kali mendengar tentang perayaan Ponggal, ia ialah sebuah festival pertanian yang disambut dengan tujuan untuk merayakan hasil tuaian terutamanya padi yang merupakan sumber utama kehidupan masyarakat pertanian.

Perayaan ini disambut pada permulaan bulan Thai dalam kalendar Tamil.

Biasanya ia akan jatuh pada pertengahan Januari.

Nama Ponggal berasal daripada kata Tamil yang membawa maksud ‘melimpah-ruah’, merujuk kepada nasi yang ditanak dan disajikan dalam periuk besar sebagai tanda kesyukuran.

Selama empat hari perayaan Ponggal berlangsung, ia disambuat dengan pelbagai tradisi dan adat yang berbeza.

Setiap hari mempunyai makna dan peranannya tersendiri.

Hari pertama iaitu Bhogi Pongal — membersihkan rumah dan persekitaran serta membakar barang-barang lama sebagai simbol untuk membuang ‘benda buruk’ dan membuka lembaran baharu yang lebih baik.

Pada hari kedua iaitu Thai Pongal, yang juga kemuncak perayaan ini, masyarakat Hindu akan menyediakan hidangan khas Ponggal.

Hidangan khas ini ialah beras yang ditanak di dalam periuk tanah liat sebagai simbol kelimpahan dan kemakmuran.

BUDAYA

Manakala pada hari ketiga iaitu Mattu Pongal, ia merupakan hari memberi penghormatan kepada haiwan terutamanya lembu yang memainkan peranan besar dalam pertanian.

Seterusnya, hari keempat iaitu Kanni Pongal — dikhaskan kepada gadis-gadis yang belum berkahwin.

Di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Ipoh, dan Penang, pelbagai acara dan perarakan diadakan untuk memeriahkan suasana Ponggal.

Pasar-pasar dan kuilkuil Tamil turut dihias indah, manakala pameran budaya, persembahan tarian tradisional Bharatanatyam, dan acara masakan khas turut diadakan bagi memperkenalkan budaya Tamil kepada masyarakat umum.

Selain itu, kebanyakan keluarga Tamil di Malaysia akan memasak hidangan tradisional seperti Ponggal (nasi manis), vadai dan payasam untuk dikongsi bersama-sama ahli keluarga, jiran tetangga dan rakan.

Sebagai satu perayaan yang menekankan nilai kesyukuran, inilah masa untuk masyarakat Tamil berkumpul, mengenang jasa ibu bapa, serta mempererat hubungan kekeluargaan. Suara Sarawak berkesempatan untuk menemu bual masyarakat India yang menyambut perayaan Ponggal.

HUBUNGA

N Kongsi Marathanda Kanthan Summugam, Ponggal ialah satu perayaan yang mengingatkannya tentang pentingnya hubungan manusia dengan alam.

“Perayaan ini ialah bentuk penghargaan kepada matahari, bumi, hujan dan ternakan yang menjadi sumber kehidupan.

“Ia membuat saya lebih menghargai alam dan segala usaha yang dilakukan oleh para petani untuk menyediakan makanan,”kongsinya kepada Suara Sarawak.

Menjelas lanjut, Marathanda turut berkongsi rutin yang dilakukan ketika perayaan ini.

“Saya dan keluarga akan bangun seawal jam 5.30 pagi untuk berkumpul di halaman atau tempat terbuka.

“Ketika itu, Pongal Paanai yang sudah diisi susu dan beras akan diletakkan di atas tungku. Momen yang paling istimewa apabila susu mendidih sehingga melimpah keluar dan semua orang akan bersorak Pongalo Ponggal.

“Ia satu ungkapan syukur dan harapan agar rezeki dan keberuntungan tahun tersebut akan sentiasa melimpah-limpah.

“Setelah susu melimpah, kami akan menambahkan gula, kacang hijau atau kekacangan lain, kelapa parut dan rempah untuk membuat sajian manis yang dinamakan Pongal atau Chakkarai Pongal. Manakala pada waktu petang, pada setiap tahun kami akan mengadakan sambutan Ponggal khas di kuil,”ujarnya.

BERITA LAIN

SEMAKIN DIGITAL, semakin selamatkah kita?

TEKNOLOGI digital dan kecerdasan buatan (AI) kini berkembang dengan begitu pesat dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Namun, di sebalik kemudahan yang dinikmati untuk bekerja, belajar

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan

BERITA TERBARU

Naik Taraf Sekolah Mubaligh di Sarawak

KUCHING: Peruntukan RM30 juta untuk sekolah mubaligh Sarawak tahun ini bukan sahaja bagi menaik taraf infrastruktur, malah RM10 juta daripadanya dikhususkan untuk meningkatkan pencapaian akademik