POPCORN cassia atau nama saintifiknya Cassia didymobotrya ialah spesies tumbuhan berbunga yang tergolong dalam famili Caesalpinioideae/ Caesalpiniaceae.
Ia juga dikenali dengan nama African senna, popcorn senna, candelabra tree dan peanut butter cassia.
Ia digelar popcorn dan peanut butter Cassia kerana apabila daunnya diramas ia mengeluarkan bau seperti bertih jagung dan mentega kacang.
Pokok ini tumbuh dalam rimbunan, menghasilkan bunga yang berjambak dan berwarna kuning keemasan.
Ia mekar hampir sepanjang tahun dan pokok yang tumbuh secara semula jadi boleh membesar sehingga 25 kaki tinggi.
Popcorn Cassia biasanya ditanam sebagai tumbuhan hiasan, tanaman penutup tanah dan sebagai baja untuk tanaman kekacang.



