Populasi dunia cecah 10 bilion 2050

Tiga dekad lalu, populasi dunia mencapai 5 bilion orang dan kadar pertambahannya dianggap sederhana.

Selepas Perang Dunia Kedua, perang, bencana alam dan penyakit menjadi faktor “membantu” mengurangkan jumlah penduduk global.

Sesuai dengan perkembangan sains dan teknologi, hasil penemuan ubat-ubatan baharu, vaksin dan pemakanan suplemen serta kesedaran kepada kehidupan ala organik, menjadi faktor kepada kadar panjang umur.

Ia bukan sahaja memanjangkan umur manusia, bahkan membantu menambah jumlah penduduk dunia.

Ketika bencana semula jadi seperti gunung berapi, tsunami, taufan, tanah runtuh dan sebagainya menjadi faktor kepada kematian manusia di muka bumi, bencana bikinan tangan manusia turut merenjatkan pertambahan penduduk.

Kematian sekitar 200,000 manusia dalam tragedi menyayat hati tsunami Acheh adalah contoh klasik yang dapat direkod berlaku pada zaman moden ini.

Meletusnya bencana perang yang dicetuskan tangan manusia akibat perbezaan ideologi, bahkan aliran agama serta survival etnik menambah jumlah rekod kematian manusia.

Meningkat Dua Kali Ganda

PBB melaporkan jumlah pelarian dunia kini meningkat dua kali ganda berbanding dua dekad lepas.

Pelarian dilaporkan bertambah 2.3 juta orang setiap tahun atau 37,000 kes perpindahan setiap hari semenjak 2017.

Fenomena ini berpunca daripada masalah perang, penganiayaan dan konflik memaksa pelarian global meningkat 70.8 juta pada 2018 lalu.

Angka ini merupakan jumlah tertinggi bagi tempoh tujuh dekad PBB menangani masalah pelarian dunia.

Catatan dari Amerika Latin, dalam krisis Venezuela menunjukkan empat juta rakyat negara itu meninggalkan negara mereka menjadikan ia krisis perpindahan terbesar manusia di dunia.

Lebih dua pertiga jumlah pelarian berasal dari Syria 6.7 juta, Afghanistan 2.7 juta, selatan Sudan, Myanmar dan Somalia. Pelarian Palestin mencapai 5.5 juta dengan 3.5 juta ialah pencari suaka yang dilahirkan di luar negara dan dalam perlindungan antarabangsa.

Sangat ironi, pelarian di dalam negara sendiri di seluruh dunia mencapai 41.3 juta secara global. Konflik politik tercetus di Iraq, Yaman, Asia Barat serta Afrika sub-Sahara seperti Congo dan Sudan menambah buruk isu pelarian global ini.

Ratusan Ribu Pelarian Mati

Bersama-sama kisah sedih pelarian dan perang ini, tercatat ratusan ribu orang mati begitu sahaja.

Bahkan, Tutsi dan Hutu satu negara di Afrika Tengah, berkulit hitam dan menganut agama Kristian, tetapi berlaku “genosid” sehingga mengorbankan lebih sejuta jiwa demi survival etnik “kerwandaan”.

Ia kisah zaman moden yang menyaksikan faktor ini menjadi penyebab kepada pengekportan budaya, bahkan kepercayaan agama ke bahagian tertentu di dunia ini termasuk Barat dan Eropah yang sanggup berkompromi atas nama kemanusiaan sejagat.

Meskipun bencana semula jadi serta bencana akibat tangan manusia menjadi faktor menyusut jumlah manusia global, namun terkini, populasi dunia direkodkan mencapai 7.7 bilion.

Sementara menjelang 2030 penduduk dunia 8.5 bilion dan pada 2050 mencapai hampir 10 bilion.

Apabila alam bersuara dan memutuskan siapa harus mati dan siapa harus hidup ia memenuhi teori survival itu sendiri bahawa yang kuat harus terus hidup dan yang lemah dilemaskan oleh kematian untuk mengawal kehidupan secara biologi.

Itu pun, baru-baru ini pemimpin PBB melahirkan kebimbangan berkaitan pertambahan jumlah dunia penduduk dunia secara drastik itu. Hari Populasi Dunia disambut 11 Julai bermula 1989 bagi meningkatkan kesedaran berpunca berkaitan pertambahan populasi dunia berlebihan.

Laporan Prospek Populasi Dunia dibentang Pengarah Jabatan Ekonomi dan Hal Ehwal Sosial PBB dibentang oleh John Wilmoth, mengungkapkan menjelang 2100, penduduk dunia mencecah jumlah 11 bilion orang.

Populasi penduduk sub-Sahara Afrika dikatakan meningkat dua kali ganda. Sementara, penduduk dunia digambarkan semakin dihuni oleh warga lanjut usia meskipun pertumbuhan populasi global berkembang perlahan dengan kadar kesuburan menurun.

Bertambah Drastik

Ya, dalam kadar kesuburan menurun, jumlah manusia bertambah drastik, warga panjang umur merantai jumlah sedia ada.

Menjelang 2050, populasi dunia diramalkan tertumpu kepada sembilan negara iaitu India, Nigeria, Pakistan, Congo, Ethiopia, Tanzania, Indonesia, Mesir dan Amerika Syarikat (AS).

Sementara populasi China diramal populasi menurun 2.2 peratus sehingga 2050. Ini diikuti 27 negara lain mengalami penurunan populasi penduduk ekoran kadar kesuburan yang rendah.

Memetik AFP, laporan itu menyebut angka kematian melebihi jumlah kelahiran baharu di beberapa negara seperti Belarus, Jerman, Estonia, Hungary, Itali, Jepun, Rusia, Serbia dan Ukraine.

Sementara, Penolong Setiausaha Agung Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial PBB Lu Zhenmin berkata: “Kebanyakan populasi yang pantas berkembang adalah di negara miskin dengan cabaran terbesar menghapus kemiskinan itu sendiri, memperbaiki penjagaan kesihatan dan pendidikan.”

Mari lihat ada apa dengan isu kependudukan di Malaysia. Penduduk Malaysia terkini 32.6 juta orang.

Laporan terkini Bernama menunjukkan, penduduk lelaki melebihi perempuan iaitu 16.8:15.8 juta.

Tidak terlepas, laporan menunjukkan peratusan penduduk berumur 0-14 tahun menurun kepada 23.3 peratus berbanding 23.8 peratus pada 2018.

Peratusan penduduk berumur tua 65 tahun dan lebih meningkat daripada 6.5 peratus kepada 6.7 peratus.

Menjelang 2040, penduduk Malaysia mencapai 41.5 juta, meningkat hampir 13 juta bagi tempoh 30 tahun.

Suara Sarawak