
PEMINDAHAN ibu kota Indonesia, Nusantara ke Kalimantan mencetuskan minat mendalam dalam kalangan pemimpin dan rakyat di Sabah dan Sarawak.
Indonesia bukan negara pertama memindahkan ibu kotanya ke tempat lain.
Kini Mesir memindahkan ibu kota baharunya ke luar Kaherah. Brazil melakukannya pada 1961, manakala Myanmar memindahkan ibu kotanya ke Naypyidaw pada 2005.
Ibu kota baharu Indonesia akan berada di Kabupaten Penajam Paser Utara dan Provinsi Kalimantan Timur.
Provinsi berkenaan memiliki luas wilayah 129,066,64 kilometer per segi atau 6.73 peratus daripada saiz Indonesia. Jumlah penduduk di Provinsi Kalimantan Timur ialah 3.77 juta jiwa dengan 21.99 peratus berada di Kota Samarinda.
Samarinda sebuah kota yang menarik dengan banyak destinasi pelancongan untuk dikunjungi. Saya sempat ke Balikpapan dan kota itu lebih sepuluh tahun lalu.
Ketika lawatan rasmi ke Indonesia pada awal Januari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa Malaysia akan mencari jalan terbaik untuk memastikan pembangunan Nusantara dapat memberi manfaat kepada Sabah dan Sarawak.
Bercakap dalam sidang media bersama-sama Presiden Indonesia Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi, Anwar berkata, pentadbiran Sabah dan Sarawak memuji inisiatif besar Jokowi yang disifatkan sebagai ‘kota global pintar dan hijau.’
Kota ini akan memperagakan transformasi dari segi persekitaran, sistem pengangkutan, ekonomi, pentadbiran, cara bekerja, teknologi, selain kualiti kesihatan dan pendidikan.
Justeru, penting untuk negara ini khususnya Sarawak dan Sabah mengambil kesempatan daripada pemindahan ibu kota negara 273 juta itu ke Borneo-Kalimantan.
Kementerian Kewangan telah memberikan kelulusan awal berjumlah RM1 bilion untuk memulakan kerja menaik taraf prasarana dan keupayaan kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di sempadan Sarawak dan Sabah dengan Kalimantan.
Anwar berkata, kelulusan tersebut susulan perbincangan beliau dengan Jokowi di Bogor, Indonesia berhubung perpindahan ibu kotanya ke Kalimantan.
Perkara ini turut disentuh oleh beliau ketika membentangkan Belanjawan 2023 baru-baru ini. Pada Ogos tahun lepas, saya berkesempatan mendengar penjelasan tentang Nusantara daripada Konsulat Jeneral Indonesia di Kuching, Raden Sigit Watjaksono.
Beliau menjelaskan 6,000 hektar untuk Ibu Kota Negara (IKN) atau kawasan pemerintahan pusat adalah untuk istana presiden, bangunan parlimen dan pejabat beberapa kementerian.
Juga dilaporkan bagi menempatkan 50,000 penjawat awam dan 500,000 penghuninya.
Manakala pembangunan kawasan sekitar seluas 56,000 hektar lagi akan menyusul bertujuan untuk pembinaan kemudahan lain.
Jokowi menyasarkan untuk memindahkan pentadbiran atau kerajaan ke ibu kota baharu itu sebelum 17 Ogos 2024, bagi meraikan ulang tahun kemerdekaannya.
Ibu kota baharu itu dianggap lokasi yang sesuai kerana ia lebih dekat dengan Sulawesi, Maluku, Timor Timur dan Papua.
Pulau Jawa, terutama Jakarta kini sesak dan mengalami masalah mendapan. Jakarta sebenarnya kota yang paling pantas mendap di dunia.
Seyogia diingatkan, 160 juta atau 57 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduknya mendiami pulau itu.
Mereka yang berpengalaman berada di Jakarta pasti tahu akan betapa sesaknya ibu kota berkenaan, selain pencemaran teruk.
Sudah tentu apabila Nusantara siap nanti, ia akan memberi banyak manfaat kepada kita.
Akan terdapat kesan limpahan yang besar dari segi politik, keselamatan, perniagaan, sosiobudaya, pendidikan, kesihatan, pengangkutan dan logistik. Inilah juga bidang kerjasama yang sepatutnya diterokai oleh kedua-dua negara.
Dari segi pelancongan misalnya, termasuk pelancongan kesihatan, ini akan merancakkan lagi sektor berkenaan.
Dengan peningkatan jumlah pelancong ke Nusantara dan Sabah atau sarawak, aktiviti ekonomi pasti semakin cergas.
Banyak peluang ekonomi termasuk dari segi pengangkutan, restoran, hotel dan hal-hal berkaitan industri berkenaan akan dapat diterokai oleh kedua-dua pihak.
Dapat kita jangkakan, akan lebih banyak penerbangan ke bandar utama dan bandar-bandar lain di keduadua negeri dari Nusantara dan sebaliknya.
Sebagai negeri yang bersempadan dengan Kalimantan, sudah tentu Sarawak tidak boleh berdiam diri.
Sebaliknya, Sarawak perlu menerokai pelbagai peluang dan kemungkinan yang bakal wujud susulan langkah pemindahan ibu kota Indonesia itu.
Kini, terpulanglah kepada pemimpin negeri dan ahli perniagaan kita untuk mengadakan perbincangan lebih lanjut dengan pelbagai pihak berkepentingan di Indonesia.
Mereka peru menerokai pelbagai peluang yang bakal wujud, sama ada dari segi prasarana, ekonomi, pelancongan atau pertanian.
Jalinan perniagaan peru diwujudkan untuk memungkinkan ahli perniagaan dalam pelbagai bidang dapat meraih manfaat.
Pelbagai potensi kerjasama strategik dapat dijalin asalkan ada kesediaan kedua-dua negara untuk saling bekerjasama.
Hubungan dua hala perlu terus dikembangkan dan diperkukuh demi kepentingan bersama.
Sarawak dan Sabah wajar mempersiapkan diri. terutama dari aspek pembangunan sempadan.
Justeru, langkah kerajaan membangunkan sempadan melalui penambahbaikan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sepanjang sempadan utama antara Sabah, Sarawak dan Kalimantan adalah sesuatu yang munasabah.
Hal ini akan memberi kemudahan kepada rakyat keduadua negara.
Hakikatnya, pembangunan bandar-bandar di sempadan Kalimantan, Sabah dan Sarawak perlu dipercepatkan.
Segala kemudahan penting perlu dibina untuk memudahkan rakyat keduadua negara bergerak di kawasan terbabit dan menjalankan aktiviti sosial, pelancongan, perniagaan dan ekonomi.
• Dato Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik dan Felow Kanan Majlis Profesor Negara.




