BINTULU: Cubaan menyeludup minyak diesel dianggarkan bernilai lebih RM40 juta berjaya digagalkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Bintulu dalam satu operasi di perairan Kuala Tatau Sabtu lalu.
Komander PPM Wilayah 5 Sarawak, Asisten Komisioner (ACP) Ab Rahman Mat Hasan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.00 pagi sepasukan anggota Botronda PA 49 yang menjalankan Op Taring Gelora telah menahan sebuah kapal tangki dikenali sebagai Paradise (ON 334757) kira-kira 10 batu nautika dari Kuala Tatau.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat tujuh kru warga asing dari Myanmar berada di atas kapal berkenaan. Pemeriksaan lanjut menemui muatan minyak diesel dianggarkan sebanyak 200,000 liter tanpa sebarang dokumen sah berhubung pemilikan atau permit minyak tersebut” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, juragan kapal dan semua awak-awak berkenaan telah ditahan untuk membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) kerana gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran lesen atau permit bagi membawa barang kawalan itu.

“Setelah proses dokumentasi selesai kes berkenaan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Bintulu Sarawak untuk tindakan lanjut” katanya.
Ab Rahman berkata nilai keseluruhan rampasan termasuk minyak diesel dan kapal terbabit dianggarkan berjumlah RM40.77 juta.
Beliau menegaskan, PPM Wilayah 5 akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan bahan kawalan di perairan Sarawak.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terbabit dalam kegiatan haram seperti ini, kerana ia bukan sahaja merugikan negara tetapi juga boleh dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang sedia ada” tegasnya.
Berdasarkan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, individu yang didapati memiliki menyimpan atau membawa barang kawalan tanpa permit boleh dikenakan hukuman penjara denda atau kedua-duanya sekali.


