BINTULU : Sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebauh sekitar jam 8 pagi tadi, sekali gus menjadi pusat ketiga diaktifkan setakat ini bagi menempatkan mangsa terjejas banjir di daerah Sebauh.
PPS berkenaan menampung penduduk dari Rumah Eyus, Sungai Senggam, Jalan Ulu Sebauh dan Kampung Hilir Sebauh yang melibatkan seramai 35 mangsa daripada 12 ketua isi rumah (KIR).
Sementara itu, jumlah mangsa di PPS Dewan Suarah Bintulu terus menunjukkan peningkatan apabila merekodkan seramai 235 mangsa daripada 85 KIR setakat ini.
Mangsa dipindahkan dari beberapa kawasan terjejas termasuk Rumah Olen atau Rumah Eloh, Rumah Selanjat Usah, Kampung Muslim Segan, Rumah Alam Mandi serta Rumah Jigan.
Dalam perkembangan berkaitan, PPS Balai Raya Sebauh pula merekodkan jumlah mangsa seramai 147 orang daripada 51 KIR masih ditempatkan di pusat berkenaan.
Kumpulan mangsa itu terdiri daripada penduduk setinggan belakang Pejabat Daerah, Taman Tedeum, Kampung Hilir Sebauh, Kampung Hulu Sebauh, Kampung Masjid, Rumah Kedai Hui Naa, Rumah Sewa Kampung Hulu, Kampung Pandan, Kuarters BDA, Segawan serta kawasan Sungai Upei Selezu.



