BAU: Pusat Kebudayaan Bidayuh yang baharu dibina akan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 23 Jun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep berkata, pusat kebudayaan ini bakal menjadi mercu tanda baharu Bau yang melambangkan identiti masyarakat Bidayuh, selain berfungsi sebagai pusat konvensyen mini pelbagai acara di daerah ini.
“Pembinaan pusat kebudayaan bertujuan memperkenalkan keunikan Bau kepada pengunjung, khususnya berkaitan warisan masyarakat Bidayuh.
“Apabila pengunjung datang ke Bau, kita mahu mereka mengetahui bahawa daerah ini mempunyai mercu tanda tersendiri mewakili komuniti Bidayuh di sini.
“Sebab itu kita membina pusat kebudayaan ini untuk kegunaan rakyat serta sebagai lokasi penganjuran pelbagai acara. Pada Jun nanti, Premier akan merasmikan bangunan ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Sesi Dialog Awam BiSingai di Pusat Persatuan Penyelidikan dan Pembangunan Singai Sarawak (REDEEMS) di sini, hari ini.
Pusat kebudayaan bernilai RM9 juta ini dilengkapi dewan utama yang mampu menampung lebih 1,000 orang atau kira-kira 100 meja.
“Kemudahan kantin untuk operasi harian, bilik mesyuarat, ruang pameran dan galeri turut disediakan.
“Selain itu, Baruk menjadi struktur ikoniknya. Pengurusan pusat tersebut pula akan dikendalikan oleh Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA),” ujarnya.



