ARTIKEL

Primadona asal S’wak yang dilupakan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

JIKA disebut Ramlah Mohamad, mungkin ramai yang tidak kenal.

Tetapi jika dinamakan “Siput Sarawak”, pasti ramai generasi masa kini yang terlintas dengar nama tersebut.

Ya, beliau adalah antara pelakon terkenal filem generasi zaman Jalan Ampas, Singapura sezaman dengan Tan Sri P. Ramlee.

Siput Sarawak ini asal Sarawak? Benar, ibu kepada artis tersohor Anita Sarawak ini dilahirkan di Kuching pada tahun 1921.

Justeru ini membuktikan beliau artis kelahiran Bumi Kenyalang. Bapanya, Mohamad Haji Sulaiman juga seorang pelakon.

Pun begitu, beliau berasal dari Pulau Pinang dan lahir pada 1899. Asal keturunan bapa kepada Muhammad ini (datuk Siput) ialah seorang Cina dari wilayah Yunnan, manakala ibunya Melayu dari Pulau Pinang.

Pada awal tahun 1920, Mohamad telah berhijrah ke Sarawak dan menjadi anak angkat kepada Tengku Syed Idrus yang mengubah namanya kepada Dollah — untuk lebih mudah disebut.

Dollah kemudian berumah tangga dengan seorang gadis Sarawak, Dayang Aina dan hasil perkahwinan itu, maka lahirlah  seniwati Siput Sarawak dan adiknya, yang digelar Kuyung. Setelah kematian isterinya, Dollah dan anak-anaknya berhijrah ke Singapura dan di sana beliau membuka sebuah panggung bangsawan, Seri Noran Opera.

Ketika inilah Siput Sarawak mula mencipta nama sebagai primadona.

Siput mula berlakon bangsawan “Siput Kuyung” bersama-sama bapanya Dollah Sarawak sejak berusia 11 tahun. Dollah Sarawak dan opera bangsawannya adalah nama besar ketika itu.

Dollah, di sebalik buta huruf, mampu menghafal semua skrip yang dibacakan oleh orang lain. Siput sempat menjadi penyanyi kabaret di Singapura selepas Perang Dunia Kedua. Ketika itu beliau telah melangsungkan perkahwinan dengan Ismail Kassim, ketika perang meletus pada 1945.

Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang cahaya mata yang dinamakan Dewi Murni atau lebih dikenali sebagai Murni Sarawak.

Murni juga kemudiannya menjadi seorang pelakon, dan terkenal dengan watak Cikgu Murni dalam filem “Nasib Si Labu Labi.” Siput mula berlakon filem menerusi “Singapura di Waktu Malam” yang diarahkan B.S. Rajhans.

Pada 1947, Siput berpisah dengan suaminya dan beliau kemudian ditawarkan berlakon dalam filem “Chinta” bersama S. Roomai Noor pada 1948.

Selepas filem inilah Siput dan S. Roomai Noor berkahwin, lalu melahirkan anak yang dikenali sebagai Ithnaini atau Anita Sarawak.

Sepanjang kerjayanya, Siput telah berlakon lebih 50 filem terbitan Malay Film Productions, Cathay-Keris dan juga Studio Merdeka.

Antara lakonan beliau paling menonjol ialah “Hujan Panas”, “Muda Mudi”, “Rachun Dunia”, “Korban Fitnah”, “Patung Chendana”, “Mata Syaitan”, “Naga Tasik Chini”, “Jiran Sekampung” dan “Mangsa”.

Menerusi Studio Merdeka di Kuala Lumpur, Siput berlakon filem “Keluarga 69” bersama P. Ramlee.

Filem “Hujan Panas” merupakan antara filem yang paling meninggalkan kesan kerana kejayaannya menjiwai watak jahat. Selepas itu, Siput dikenali sebagai watak-watak jahat

. Filem terakhir lakonan beliau ialah “Layar Lara” bersama-sama Azean Irdawaty selain Aziz Sattar, Mahmud June, Salmah Ibrahim dan Aziz Jaafar. Filem ini diarahkan Shuhaimi Baba pada tahun 1997.

Dua tahun kemudian, Siput meninggal dunia pada 3 Jun 1999 pada usia 78 tahun di Singapura. Dan jenazah beliau disemadikan di Pusara Abadi di negara itu.

Seorang lagi pelakon kelahiran Sarawak yang juga mencipta nama pada era kegemilangan filem Melayu ialah Dayang Safiah Chik Awang Rambli atau Dayang Sofia.

Dayang Sofia yang lahir pada 26 Ogos 1938 merupakan pelakon, model dan penyanyi.

Diperkenalkan oleh Mustafa Yassin kepada P Ramlee untuk diuji bakat, Dayang Sofia kemudian dipilih membintangi filem ”Bujang Lapok” arahan P. Ramlee.

Bapa beliau, Awang Rambli merupakan nasionalis Sarawak yang pernah bertugas sebagai pegawai kastam di Miri. Tetapi tidak ramai yang tahu bahawa individu inilah yang terlibat dalam peristiwa bersejarah, pembunuhan Gabenor British yang kedua, Sir Duncan George Stewart di Sibu.

Awang Rambli merupakan pemimpin gerakan politik yang dikenali sebagai Pergerakan Pemuda Melayu (PPM) Bahagian Ketiga dan watak utama dalam kelompok Rukun 13 yang merancang melakukan pembunuhan terhadap pegawai dan tali barut Koloni British ketika itu.

Oleh kerana pelibatannya sebagai “mastermind” kepada pembunuhan Duncan Stewart oleh Rosli Dhoby, maka Awang Rambli dan dua lagi rakannya, Bujang Suntong telah dihukum gantung sampai mati, seperti juga Rosli dan Morshidi Sidek, setelah diadili dan tidak mendapat pengampunan daripada Privy Council.

Setelah bapanya meninggal dunia, Dayang Sofia dan ibunya telah berhijrah ke Singapura dan mengikuti pendidikan secara formal di St. Hilda. Beliau kemudian disunting untuk diperkenalkan dalam filem ”Bujang Lapok” arahan P. Ramlee pada 1957 yang turut menampilkan Aziz Sattar, S Shamsuddin dan P. Ramlee sendiri.

Selepas berjaya memegang watak sebagai Sapiah, Dayang Sofia membintangi pelbagai lagi filem box office ketika itu seperti “Megat Terawis” dan “Tiga Abdul” sebelum kali terakhir tampil pada 1973, menerusi filem “Satu Titik Di Garisan”.

Dayang Sofia kemudian berkahwin dengan Aziz Sattar pada 1958 sehingga mereka berpisah pada tahun 1980. Beliau berkahwin buat kali kedua pada tahun berikutnya, setelah bertemu jodoh dengan Pengiran Jamaluddin Pengiran Haji Yakub lalu menetap di Brunei. Selepas suaminya meninggal dunia pada 2015, beliau terus bermastautin di negara tersebut, sambil sekali sekala pulang ke tanah air.

Siput Sarawak dan Dayang Sofia merupakan antara nama besar yang mungkin tidak lagi diingati. Malah amat sedikit nama mereka “dipetik” sebagai bintang filem asal Sarawak, berbanding pelakon-pelakon baharu seperti Tony Eusoff dan Henry Golding.

Sudah tiba masanya untuk kita menghargai dan memastikan nama mereka tidak hilang begitu sahaja.

Kita sudah terlepas untuk menghargai Siput Sarawak ketika hayatnya masih ada, usah kita lakukan perkara yang sama kepada Dayang Sofia yang kini telah berusia 86 tahun.

Mungkin gelanggang Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) yang menjadikan Kuching sebagai pusat acara boleh melihat perkara ini secara serius — selain meraikan artis antarabangsa yang lain.

Percayalah, kalau kita sendiri melupakan permata dan bintang yang digilap di tanah air sendiri, usah kita harapkan pihak lain untuk berbuat demikian.

• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media Sarawak.

BERITA LAIN

Menyelamat ingatan, menjejak ilmu dan sejarah

SEJARAH bukan sekadar kisah masa lalu. Ia adalah bukti tentang siapa kita, bagaimana keputusan dibuat dan mengapa sesuatu peristiwa berlaku. Namun, sejarah boleh hilang apabila

Dapur rumah di awan biru

PETANG Ahad, saya terbang ke Kuala Lumpur dari Kuching menggunakan pesawat milik kita rakyat Sarawak — AirBorneo. Selama ini, saya banyak menyunting pengalaman rakyat Sarawak

BERITA TERBARU