KUCHING: Gabungan Parti Sarawak melancarkan jentera pilihan rayanya malam ini bagi memantapkan lagi persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) yang dijadual pada 18 Disember ini.
Upacara pelancaran disempurnakan oleh Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), yang menyifatkan ia sebagai vaksin penggalak kepada ahli GPS untuk menghadapi kempen Pilihan Raya.
Katanya, jentera GPS sudah lama bersedia ekoran hayat Dewan Undangan Negeri (DUN) telah tamat pada bulan Jun lalu.
“Sebenarnya kita sudah bersedia dan malam ini kita hanya mengingatkan ahli yang kita perlu mulakan sekarang kerana PRN-12 jatuh pada 18 Disember depan dan penamaan calon pada 6 Disember.
“Sama seperti vaksin Covid-19, jentera GPS telah mendapatkan dua vaksin dan malam ini kita mendapatkan vaksin penggalak (booster). Ini adalah satu kumpulan (team) yang akan mempertahankan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucaptama pelancaran jentera GPS di Ibu Pejabat PBB di Jalan Bako di sini, malam ini.




