Program Bina Kapasiti B40 diperluas ke Sarawak

KUCHING: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) akan melaksanakan Program Bina Kapasiti B40 ke Sabah dan Sarawak tahun hadapan.

Pengerusinya Alice Lau berkata, pihaknya menyasarkan 300 peserta daripada kumpulan B40 menyertai program itu.

Menututnya, ini akan membantu meningkatkan dan membekalkan mereka dengan kemahiran serta pengetahuan tertentu yang akan membolehkan mereka mendapat pekerjaan.

“Sudah tentu kami ingin membawa lebih ramai peserta. Memandangkan ini pertama kali diadakan di Sarawak, kami perlu mengehadkan peserta.

Kami perlu memastikan mereka mendapat pekerjaan selepas kursus.

“Jika kami melatih mereka dan kemudian tidak mendapat pekerjaan, itu tidak mencapai tujuan program,” katanya kepada media selepas Sesi Bertemu Pelanggan Niosh di sini, semalam.

Beliau berkata, program itu akan bermula di Kuching sebelum diteruskan ke Miri, Sibu dan Bintulu dan permohonan boleh dibuat secara atas talian.

Bagaimanapun hanya pemohon yang memenuhi syarat dan kriteria ditetapkan akan dipilih.

“Program ini dibiayai oleh Dana Pembangunan Sumber Manusia, dengan peruntukan kira-kira RM10 juta termasuk penginapan, makanan dan elaun RM35 untuk peserta sepenuh masa,” ujarnya.

Menurut Lau, Program Bina Kapasiti B40 adalah projek perintis yang dilancarkan awal tahun ini di Semenanjung Malaysia, yang menyaksikan 100 peserta menamatkan program dan menerima sijil semasa Konvensyen Bina Kapasiti B40 pada 20 November lalu di Putrajaya.

Katanya, daripada kesemua peserta, 30 orang berjaya mendapat pekerjaan dan 50 peserta lagi kembali ke tempat kerja lama dengan membawa kemahiran baharu.

Lau berkata, bagi yang belum mendapat pekerjaan, Niosh akan berusaha membantu mereka mencari pekerjaan.

Suara Sarawak