KUCHING: Seramai 35 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching terlibat dalam program Sentuhan Kasih di Pertubuhan Ibu Bapa, Kanak-Kanak Keperluan Istimewa Sarawak (Pibakat), semalam.
Program julung kali diadakan melibatkan IPD Kuching berjalan lancar dengan kerjasama Persatuan Keluarga Polis (Perkep) dan pihak Pibakat sendiri selaku tuan rumah.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, pelancaran program tersebut merupakan lanjutan daripada aktiviti tanggungjawab sosial yang dilaksanakan oleh IPD Kuching tahun lalu bersempena dengan sambutan Hari Polis ke-216.
Menurutnya, objektif penganjuran program selaras dengan namanya iaitu sentuhan kasih bagi memberi peluang kepada warga polis IPD Kuching untuk menyampaikan sumbangan berbentuk sosial kepada pusat kebajikan yang memerlukan.
“Program ini merupakan yang kali pertama kita laksanakan bersama Pibakat.
Tahun ini kita memutuskan untuk melaksanakannya di tempat ini daripada beberapa pusat kebajikan dalam senarai kita.
“Jadi ini sebahagian tanggungjawab sosial pegawai dan anggota polis bukan sahaja menguatkuasakan undang-undang membanteras jenayah, tetapi juga satu cabang untuk kesejahteraan masyarakat,” katanya selepas merasmikan majlis di pekarangan bilik mesyuarat Pibakat Kuching, semalam.
Jelasnya, program tersebut turut bertujuan memberi kesedaran kepada warga polis bagi memahami keadaan serta menyantuni golongan kelainan upaya (OKU).
“Kami juga sebagai manusia biasa, kita punya perasaan dan kita cuba memahami mereka.
Jadi harap program ini dapat membantu mengindahkan lagi suasana tempat ini,” katanya.