LUNDU: Program Wanita, Inspirasi, Realisasi dan Aksi (WIRA) menarik penyertaan 460 wanita dari 58 kampung sekitar Opar dan Daerah Lundu. Program tersebut berlangsung di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (Centexs) Lundu.
ADUN Opar, Billy Sujang berkata, kehadiran besar itu merupakan tanda komitmen wanita yang semakin proaktif dalam memperkasa diri dan keluarga.
“Semangat wanita untuk belajar, berubah dan memberi impak positif kepada masyarakat terus menyala kuat.
“Inilah semangat yang kita mahu dan biarlah ia terus membara,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut di sini, semalam.
Beliau menambah, pembangunan wanita memerlukan sokongan menyeluruh daripada semua pihak selari dengan slogan ‘Wanita Perkasa, Keluarga Berjaya’.
“Slogan ini menggambarkan tanggungjawab kita bersama untuk membentuk masyarakat yang kuat dan sejahtera,” ujarnya.
Beliau yakin ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang program tersebut mampu menjadi pemangkin kepada wanita untuk memainkan peranan lebih signifikan dalam keluarga dan komuniti.
Program WIRA menyediakan pelbagai pengisian termasuk bengkel kraftangan, seni hiasan bunga, pembuatan kuih tradisional serta sesi solekan dan dandanan rambut.
Turut diadakan ceramah kesihatan mental, latihan CPR dan pendidikan komuniti bagi memberi pendedahan lebih menyeluruh kepada peserta.

FOTO: UKAS


