SIBU: Pelaksanaan projek lampu solar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual asal yang ditetapkan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong berkata projek berkenaan mula dilaksanakan sejak November tahun lalu dan pada asalnya dijadualkan siap pada Mei tahun ini.
Katanya, kejayaan menyiapkan projek itu lebih awal jelas mencerminkan tahap kecekapan, perancangan rapi serta kesungguhan pelaksanaan oleh pihak terlibat.
“Pada saya, dalam usaha kita menitikberatkan keselamatan komuniti, aspek kebajikan serta persekitaran kerja anggota penguat kuasa juga tidak boleh dipandang ringan kerana mereka berada di barisan hadapan dalam memastikan ketenteraman awam terpelihara.
“Justeru, kemudahan asas seperti sistem pencahayaan dan perlindungan yang mencukupi mesti sentiasa dipastikan berada pada tahap terbaik. Ini bukan sahaja sebagai tanda penghargaan terhadap khidmat mereka, malah merupakan satu keperluan penting demi menjamin keselamatan menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau sempena Majlis Perasmian Lampu Solar di IPD Sibu yang berlangsung semalam.
Dalam pada itu, Tiong memaklumkan walaupun kawasan pilihan rayanya di Dudong, namun tanggungjawab terhadap isu keselamatan serta sokongan kepada pasukan penguat kuasa tidak seharusnya terbatas oleh sempadan kawasan.
“Pendekatan kita mesti menyeluruh dan seimbang, tanpa mengabaikan mana-mana pihak.
“Apabila kedua-dua aspek iaitu keselamatan masyarakat dan kebajikan anggota diberi perhatian sewajarnya, barulah sistem perlindungan dan penguatkuasaan dapat berfungsi dengan lebih berkesan,” tegasnya.
Untuk rekod, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM110,000 bagi projek tersebut dengan pemasangan 55 lampu solar di sekitar kawasan IPD Sibu.
Sementara itu, pada majlis yang sama, Tiong turut menyediakan kek sebagai tanda penghargaan dan ucapan tahniah kepada Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili yang akan bertukar ke Kuching susulan kenaikan pangkat.
“Terima kasih atas segala jasa dan sumbangan beliau sepanjang berkhidmat di Sibu. Semoga terus cemerlang di tempat baharu dan berbakti demi keselamatan dan kesejahteraan Sarawak,” katanya.



