SIBU: Sebanyak 32 laluan masuk atau pembentung di Lorong Sentosa 4 akan dinaik taraf menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2023 berjumlah RM300,000 bagi meningkatkan keselamatan harian penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng berkata, langkah ini juga dapat mengurangkan risiko banjir kilat yang telah lama dihadapi oleh penduduk di kawasan perumahan tersebut.
“Kebanyakan laluan sedia ada telah rosak teruk atau runtuh. Keadaan ini menyukarkan pergerakan keluar masuk dan menghalang aliran air hujan.
“Seperti yang kita lihat, struktur laluan masuk telah runtuh atau rosak dan apabila hujan lebat, air tidak dapat keluar, menyebabkan banjir kilat, kadang-kadang setinggi tiga kaki,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Sehubungan itu, katanya, projek tersebut merupakan sebahagian daripada usaha menyeluruh yang melibatkan pemasangan laluan rumah atau pembentung baharu dan kerja menurap jalan di kawasan Sentosa 4.
Namun, pelaksanaan projek itu sedikit tertangguh kerana perlu menyiapkan projek sistem perparitan utama Sentosa, yang kini hampir siap dan dijangka selesai bulan depan.
“Memandangkan saliran utama hampir siap, kerja menyambung longkang-longkang kecil ini dapat dimulakan.
“Ini akan membantu melancarkan pengaliran air dari dalam keluar, sekali gus mengurangkan risiko banjir,” jelasnya.
Projek ini dijadual bermula pada 26 Julai dan tempoh pembinaan dijangka mengambil masa selama enam bulan.
Bagaimanapun, Chieng telah meminta pihak kontraktor mempercepatkan kerja naik taraf agar penduduk dapat menikmati kemudahan tersebut lebih awal.



